KETUA PKPP Cherating Abdul Karim Mohd Sham  memilih anak penyu  agar di pusat penetasan sebelum dilepaskan ke laut.
KETUA PKPP Cherating Abdul Karim Mohd Sham memilih anak penyu agar di pusat penetasan sebelum dilepaskan ke laut.
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Cherating, di sini mengumpul 53,112 telur hasil pendaratan 592 penyu jenis agar sepanjang tahun lalu berbanding 24,204 telur pada 2015.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang Datuk Adnan Hussain berkata, daripada jumlah itu sebanyak 31,652 telur ditetaskan di pusat penetasan khas sebelum dilepaskan ke laut secara berperingkat.

Beliau berkata, jumlah pendaratan dan telur penyu di PKPP Cherating tahun lalu yang tertinggi sejak 2010. Pada 2013 sebanyak 516 pendaratan penyu direkodkan dengan menghasilkan 43,720 telur dan sebanyak 31,612 ditetaskan.

Katanya, dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini sebanyak 46 pendaratan penyu jenis agar dicatat membabitkan 4,150 telur dan 279 telur ditetaskan manakala proses pengeraman kini masih dijalankan.

“Jumlah pendaratan penyu setiap tahun di PKPP Cherating tidak menentu disebabkan beberapa faktor seperti keadaan laut, ancaman daripada nelayan dan faktor semula jadi.

“Kami berharap aktiviti pelepasan anak penyu yang diadakan setiap tahun di PKPP Cherating dapat menambahkan jumlah pendaratan penyu agar dan karah suatu hari nanti,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sementara Adnan berkata, sehingga April lalu seramai 27,288 pelancong tempatan dan asing datang ke PKPP Cherating untuk melihat pameran hidupan laut dan menyertai aktiviti melepaskan anak penyu.

Menurutnya, tahun lalu 77,188 pelancong datang ke PKPP Cherating membabitkan 66,455 pelancong tempatan dan 10,733 pelancong luar negara yang datang sepanjang tahun.

Katanya, pelbagai usaha dilakukan pihaknya untuk menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke PKPP Cherating sempena Tahun Melawat Pahang 2017 antaranya dengan mengadakan aktiviti melepaskan anak penyu ke laut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2017 @ 3:31 AM