Mohd Hanafis Abd Haris


BERMULA dengan penghasilan aplikasi yang menawarkan tempahan khidmat pembersihan rumah dan membaiki paip, syarikat ServisHero kini menyediakan khidmat panggilan 'kejut sahur' secara percuma menerusi laman web mereka bermula 1 Ramadan (27 Mei) lalu.

Khidmat percuma terbabit membolehkan umat Islam khususnya individu yang sukar bangun sahur menerima panggilan setiap jam 5 pagi bermula 27 Mei hingga 25 Jun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Karl Loo berkata, perkhidmatan terbabit sebenarnya sudah memasuki tahun kedua selepas ia dilancarkan tahun lalu.

Menurutnya, reaksi positif daripada orang ramai kemudian membawa kepada pengenalan semula perkhidmatan terbabit.

"Malah sambutan pada tahun ini amat menggalakkan apabila lebih 6,000 pelanggan mendaftar, biarpun baru lima hari dilancarkan semula," katanya.

Ditanya berhubung idea tercetusnya penghasilan servis terbabit, Karl berkata, ia hasil daripada perbincangan pasukan ServisHero dalam memastikan tiada individu terlepas bersahur, sekali gus dapat memberikan motivasi pagi kepada pengguna.

"Kami sentiasa cuba untuk memudahkan orang ramai mendapat perkhidmatan menerusi platform terkini," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Solaris Mont Kiara, di sini, semalam.

Sementara itu, Pengurus projek Umar Rasydan berkata, pengguna yang ingin mendapatkan perkhidmatan terbabit hanya perlu melayari laman web ramadan.servishero.com dan kemudian mengisi nama penuh, alamat email dan nombor telefon.

"Pihak ServisHero dengan kerjasama syarikat telekomunikasi kemudian akan membuat panggilan setiap 5 pagi sepanjang ramadan ini. Sebanyak 20 suara pekerja direkodkan bagi mengejut pengguna yang berdaftar," katanya.

Menurutnya, selain perkhidmatan 'kejut sahur', ServisHero turut menyediakan platform khidmat pembersihan rumah, membaiki paip serta masalah berkaitan elektrik menerusi aplikasi yang boleh dimuat turun di Play Store bagi pengguna Android dan App Store untuk iOS.

Perkhidmatan terbabit merangkumi kawasan sekitar Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2017 @ 9:09 PM