LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini
BERNAMA

Semporna: Kehilangan segala harta benda dalam kejadian kebakaran rumah pada 2015, Angelista Bastara sama sekali tidak menyangka kejadian itu berlaku sekali lagi malam tadi, namun dia pasrah untuk memulakan kembali kehidupannya.

Angelista, 45, berkata, tragedi malam tadi menyebabkan semua harta benda yang dikumpul selepas kebakaran pada 2015 itu musnah sekelip mata, dan malam tadi dia sekeluarga kembali sehelai sepinggang sama selepas kejadian 2015.

"Dahulu kami tinggal sehelai sepinggang kerana tidak ada apa-apa yang dapat diselamatkan, nampak hari ini sekali lagi terpaksa bermula semula," katanya ketika ditemui pemberita di pusat penempatan sementara Dewan Belia dan Sukan Kampung Bangau-Bangau di sini hari ini.

Lewat malam tadi, kira-kira 100 rumah di kawasan penempatan transit di Kampung Bangau-Bangau yang diwujudkan pada 2017, musnah dalam kebakaran.

Kawasan berkenaan adalah penempatan bagi mangsa kebakaran rumah atas air di Kampung Bangau-Bangau pada 2015 dan ketika itu 435 rumah musnah dalam kejadian itu.

Berkongsi mengenai kejadian malam tadi, Angelista berkata, ketika itu dia sedang memasak air panas dan tiba-tiba terdengar suara jeritan yang disangkakan aktiviti 'kejut sahur', sebelum berlaku dua letupan kuat.

"Saya nampak api, tanpa buang masa saya keluar bersama anak bongsu berusia tiga tahun, serta sebelum itu sempat mengambil dokumen diri, kemudian saya periksa semua enam anak saya termasuk yang sulung berusia 17 tahun, selamat.

"Selepas itu baru saya berpatah balik masuk ke rumah, menyelamatkan suami, 50, yang mengalami bengkak kaki dan tidak dapat berjalan untuk dipapah keluar menyelamatkan diri bersama-sama, syukur saya sempat sampai, api waktu itu sudah semakin dekat dengan rumah kami," katanya lagi.

Bagi Limgon Linsun, 38, pula tiba-tiba dia mendapat kekuatan untuk menyelamatkan dua mentuanya yang jua warga emas, dengan cara seorang didukung manakala seorang lagi ditolak menggunakan troli.

"Sebelum kejadian saya sedang berbaring, tiba-tiba saya mendengar jeritan dari luar dan saya berlari keluar dan melihat kepulan asap serta api besar, saya cuma ingat mentua, waktu itu tiada barang yang dapat diselamatkan kecuali kereta saya," katanya.

Sementara itu, seorang wanita warga emas, Sitti Julbaidah, 80, terpaksa menguatkan hati untuk meredah kepulan asap tebal bagi menyelamatkan diri serta cucunya berusia tiga tahun.

"Saya orang terakhir keluar dari rumah, tiada apa-apa yang saya bawa, saya berlari, asap tebal tidak nampak apa-apa, orang macam semut waktu itu, syukur semua ahli keluarga terselamat, meskipun harta benda dapat diselamatkan," katanya turut reda dengan dugaan dihadapi.

Sementara itu, Brave Bagiti, 27, pula berkata melihat api bermula dari rumah di kawasan tengah penempatan, sebelum merebak memusnahkan rumah lain.

"Waktu itu saya sedang membaiki kereta sebelum ternampak api dari rumah di tengah-tengah, saya jerit 'api' banyak kali dan sekuat hati," katanya dan menambah rumah mentuanya juga terbakar serta bahagian belakang keretanya terkena api.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam kenyataan hari ini melaporkan lebih 900 mangsa terjejas akibat kebakaran itu, dan sebuah pusat penempatan sementara di buka di Dewan Belia dan Sukan Kampung Bangau-Bangau di sini.

Pada awal bulan ini, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan peruntukan RM8.25 juta bagi kerja-kerja membaiki rumah transit Kampung Bangau-Bangau yang didiami mangsa kebakaran kampung itu pada tahun 2015.

Berita berkaitan:

  • 900 hilang tempat tinggal
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 5:26 PM