Ridhatul Rizki


APLIKASI MetroTV yang menawarkan liputan berita dan program menarik daripada akhbar Harian Metro kini boleh ditonton menerusi pek hiburan terbaru Celcom Xpax, Video Walla.

Menawarkan 10GB penstriman video pada harga RM7 seminggu, pengguna tidak perlu risau kuota data utama terjejas apabila menonton aplikasi ini menerusi Video Walla.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Operasi Perniagaan Axiata Berhad, Azwan Khan Osman Khan, Celcom berbangga dapat bekerjasama dengan Harian Metro.

"Kami sangat berbesar hati dengan kerjasama ini. Menerusi pakej yang ditawarkan, pengguna boleh menonton liputan berita dalam aplikasi terbabit pada harga data yang sangat berpatutan," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran pek hiburan terbaru daripada Xpax di Kuala Lumpur, hari ini.

Majlis pelancaran terbabit turut dimeriahkan oleh Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar.

Selain MetroTV, pengguna juga boleh menonton video daripada YouTube, iflix, Netflix, Tonton, Astro GO, dimsum, HeroTalkies, MOX Digital dan Daily Motion.

Pengguna bukan sekadar boleh menonton video, malah Xpax juga memperkenalkan pek Music Walla yang menawarkan penstriman muzik tanpa had.

Azwan berkata, pengguna hanya dikenakan bayaran RM3 sebulan bagi menikmati kandungan muzik daripada penyedia seperti JOOX, Raku, KKBOX, Hungama Music dan lebih daripada 30 stesen radio tempatan.

"Celcom komited dalam memastikan kami memenuhi kehendak pelanggan yang menggemari hiburan tanpa had," katanya.

Pengguna Xpax boleh melanggan Video Walla dan Music Walla melalui aplikasi Xpax atau kod USSD *118#.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2017 @ 10:01 PM
AZWAN Khan (dua kiri) melancarkan pek video Walla. FOTO Saipul Iskandar
AZWAN Khan (dua kiri) melancarkan pek video Walla. FOTO Saipul Iskandar