Seorang terkorban, dua lagi tidak sedarkan diri ketika membuat kerja mengimpal kapal tangki di Jalan Tinagat, Apas Parit, Tawau. FOTO ihsan bomba
Seorang terkorban, dua lagi tidak sedarkan diri ketika membuat kerja mengimpal kapal tangki di Jalan Tinagat, Apas Parit, Tawau. FOTO ihsan bomba
Norasikin Daineh


LELAKI maut manakala dua lagi tidak sedarkan diri selepas terhidu gas karbon monoksida daripada asap ketika mengimpal kebocoran kapal tangki di Jalan Tinagat, Apas Parit, Tawau, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, tiga mangsa terbabit melakukan kerja mengeluarkan air dengan menggunakan pam penyedut sambil mengimpal kebocoran pada kapal berkenaan.

Bagaimanapun, ketika-tiga mereka terhidu asap sehingga menyebabkan mangsa Tsen Gaw Min, 29, meninggal dunia manakala dua lagi dikenali sebagai Jamaludin Lalo dan Adi lalo tidak sedarkan diri.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Tawau Faisal Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.13 petang dan seramai 14 anggota bersama tiga jentera dikejar ke lokasi kejadian.

"Kejadian membabitkan sebuah kapal tangki yang digunakan untuk mengangkut batu dari kuari di kawasan itu sedang berlabuh kerana mengalami kebocoran sehingga menyebabkan air masuk ke dalam kapal.

"Pada mulanya, tiga pekerja itu melakukan kerja mengeluarkan air dari kapal dengan menggunakan pam penyedut air sambil mengunakan peralatan itu untuk mengimpal kebocoran," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Faisal, ketika kejadian dua mangsa berada di bahagian atas kapal manakala seorang lagi masuk ke dalam kapal untuk mengimpal kebocoran.

"Bagaimanapun mangsa pertama pengsan kerana terhidu asap daripada peralatan kimpalan yang terkumpul dan terperangkap di ruangan terkurung.

"Mangsa kedua masuk ke dalam cuba untuk menyelamatkan mangsa yang pengsan ketika itu namun dia juga turut tidak sedarkan diri akibat terhidu asap berkenaan.

"Mangsa ketiga kemudian masuk ke dalam kapal untuk menyelamatkan kedua-dua mangsa namun dia pun turut pengsan," katanya.

Katanya lagi, akibat kejadian itu, pasukan bomba segera mengeluarkan semua mangsa pada jam 5 petang.

"Mangsa ketiga disahkan meninggal dunia manakala dua lagi sedang menerima rawatan di Hospital Besar Tawau," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2017 @ 7:47 PM