Anggota polis mengiringi Liang Haw yang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan menyebabkan kematian abang kandungnya pada 14 Mei lalu. FOTO Zulaikha Zainuzman
Anggota polis mengiringi Liang Haw yang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan menyebabkan kematian abang kandungnya pada 14 Mei lalu. FOTO Zulaikha Zainuzman
Shamsul Munir Safini


JURUTEKNIK kilang yang menyebabkan kematian abang kandungnya dalam kejadian di Kampung Sama Gagah, Permatang Pauh, Ahad lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, hari ini.

Tertuduh, Lim Liang Haw, 49, minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian Lim Poh Haw, 59.

Berdasarkan pertuduhan, Liang Haw pada 14 Mei di hadapan sebuah rumah di Kampung Sama Gagah menyebabkan kematian Poh Haw dengan mengetahui bahawa perbuatannya mungkin boleh menyebabkan kematian mangsa.

Pendakwa Raya, Kamaliza Md Zain kemudian memohon mahkamah menetapkan ikat jamin tertuduh RM20,000.

Majistret Jamaliah Abd Manap menetapkan ikat jamin RM10,000 ke atas tertuduh dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan manakala 17 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan tertuduh boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2017 @ 1:42 PM