SHUKARI (lima kanan) menerima kad ucapan bersaiz besar daripada Wan Mohammad Ammar Amsyar (empat kiri). Turut bersama, Mohd Tajudin (empat kanan). FOTO Bernama
SHUKARI (lima kanan) menerima kad ucapan bersaiz besar daripada Wan Mohammad Ammar Amsyar (empat kiri). Turut bersama, Mohd Tajudin (empat kanan). FOTO Bernama

BERSEMPENA Hari Guru yang disambut hari ini, murid tahun satu dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sik menyampaikan kad ucapan gergasi berukuran 1.18 meter panjang dan 1.67 meter lebar kepada Guru Besarnya, Shukari Yaakob

Wan Mohammad Ammar Amsyar Wan Mohamad, 7, mendedikasikan kad itu khas buat guru dan semua warga pendidikan di SK Sik sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka dalam mendidik anak bangsa.

Shukari berkata, beliau berasa gembira dan terharu sewaktu menerima kad ucapan tersebut memandangkan sepanjang lebih 30 tahun beliau bergelar pendidik, ini kali pertam a dalam sejarah sambutan Hari Guru di sekolah itu apabila warga pendidik dihadiahi kad ucapan sedemikian.

"Saya mewakili seluruh warga pendidik di sekolah ini, berasa sangat gembira dan terharu di atas penghargaan yang tidak mungkin saya lupakan sampai bila-bila dan kad itu akan diletakkan di dalam kelas murid terbabit," katanya.

Bapa murid berkenaan, Wan Mohamad Wan Omar, 42, berkata beliau dan isterinya menghasilkan kad ucapan itu dengan kos sekitar RM200 untuk bersama-sama meraikan sambutan Hari Guru serta ulang tahun kelahiran anak sulung mereka yang kebetulan jatuh pada 16 Mei.

"Hasrat kami ialah untuk memberi kejutan dan kegembiraan, bukan sahaja kepada anak tetapi juga kepada warga pendidik di sekolah ini, dan Alhamdulilah... usaha ini berhasil.

"Sebenarnya ada dua kad bersaiz sama, satu lagi akan disampaikan kepada guru tabika yang mengajar anak saya sebelum ini," katanya kepada pemberita.

Sementara itu, penyerahan kad ucapan gergasi itu disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan Negeri Kedah Datuk Mohd Tajudin Abdullah.

Tajuddin berkata pemberian kad ucapan bersaiz gergasi itu memberi kelainan kepada sambutan Hari Guru pada tahun ini selain mengembalikan nostalgia tradisi memberi kad ucapan kepada guru yang seakan luput dibawa arus peredaran zaman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2017 @ 2:34 PM