GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nabihah Kamal

 

BUKA akaun WeChat, promosikan pelaburan tipu dengan menjanjikan habuan RM30 hingga RM180 sehari dan mampu kaut untung atas angin sebanyak RM47,100.

 Itu taktik lelaki berusia 20-an yang akhirnya ditahan oleh pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang 2 Mei lalu di Petaling Jaya kerana terbabit dalam skim cepat kaya.

 Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Megat Mohd Aminuddin Megat Alias berkata, suspek membuka syarikat kontraktor sebagai umpan bagi menjalankan kegiatan haramnya itu.

 Katanya, dengan meyakinkan mangsa yang dia ada syarikat, lelaki itu mempromosikan skim pelaburannya di WeChat.

 "Mangsa diminta mendaftar dalam satu laman web dan suspek meminta bayaran RM500 hingga RM2,000 sebagai modal pelaburan. Berdasarkan siasatan, suspek sudah mengutip RM47,100 daripada mangsa.

 "Suspek mendakwa mampu memberi habuan antara RM30 hingga RM180 sehari," katanya ketika ditemui, di IPD Serdang, hari ini.

 Menurut Megat, mangsa hanya menerima bayaran sebanyak RM380 dalam tempoh dua hari sebelum suspek menghilangkan diri.

 "Duit yang diberikan suspek tidak cukup dan mangsa mula berasa curiga. Dia (mangsa) cuba hubungi suspek tetapi tiada respon.

 "Susulan itu, dia membuat laporan dan polis berjaya menahan suspek di Petaling Jaya," katanya.

Menurutnya, sesiapa yang terpedaya dengan skim cepat kaya itu diminta membuat laporan polis.

“Kita percaya ramai lagi mangsa yang tertipu. Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mempercayai pelaburan seperti itu, " katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih dilakukan termasuk bila lelaki itu mula melakukan penipuan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2017 @ 6:21 PM