NAJIB (berdiri, kanan) bersama Sisoulith menyaksikan Wilfred Madius (duduk, kanan) dan Vongdara menandatangani MoU. FOTO Mohd Fadli Hamzah
NAJIB (berdiri, kanan) bersama Sisoulith menyaksikan Wilfred Madius (duduk, kanan) dan Vongdara menandatangani MoU. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohd Husni Mohd Noor


MALAYSIA dan Laos hari ini menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bagi kerjasama antara kedua-dua negara dalam bidang sains dan teknologi.

Majlis berkenaan disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Perdana Menteri Laos, Dr Thongloun Sisoulith di Putrajaya, hari ini.

MoU berkenaan ditandatangani Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan Menteri Sains dan Teknologi Laos, Prof Boviengkham Vongdara.

Dr Thongloun tiba di Malaysia hari ini dalam lawatan rasmi dua hari.

Ketibaan Dr Thongloun di Dataran Perdana, Perdana Putra pada 10.15 pagi disambut Najib dan barisan Menteri Kabinet sebelum diberi sambutan rasmi.

Kedua-dua mereka kemudian menyaksikan MoU sebelum bergerak ke Seri Perdana untuk majlis makan tengah hari.

Dr Thongloun juga akan menyampaikan ucapan pembukaan di Forum Perniagaan Malaysia-Laos di Perbadanan Pembangunan, Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Kuala Lumpur sebelum mengadap ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V, petang ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2017 @ 1:19 PM