Kuala Lumpur: Malaysia akan meneruskan Projek Integrasi Tenaga Laos, Thailand, Malaysia dan Singapura (LTMS-PIP) tanpa membabitkan Singapura dalam usaha merealisasikan perdagangan pelbagai hala tenaga elektrik di rantau ini, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Beliau berkata, walaupun republik berkenaan sudah bersetuju dengan inisiatif projek perintis itu pada Mesyuarat Menteri ASEAN Mengenai Tenaga dan Mesyuarat Berkaitan ke-32 (AMEM ke-32) di Vientiane, Laos tahun lalu namun perjanjian persefahaman (MOU) itu tidak akan dimeterai pada AMEM kali ini untuk pelaksanaan Grid Tenaga ASEAN (APG).

“Apapun kita mempunyai tempoh enam bulan untuk menyelesaikan perkara berkenaan walaupun projek perintis sepatutnya membabitkan empat negara terbabit.

“Tetapi untuk fasa pertama Malaysia akan membeli tenaga 100 Megawat (MW) dari Laos melalui Thailand,” kata kepada media selepas merasmikan AMEM ke-33 di sini, semalam.

Turut hadir 10 menteri dan wakil anggota ASEAN pada mesyuarat yang bermula Isnin lalu sebelum berakhir esok.

LTMS-PIP ialah projek perintis perdagangan tenaga intra-ASEAN dalam usaha rantau ini melaksanakan APG bagi mengelakkan rantau ini mengalami krisis tenaga pada masa depan.

Pada AMEM ke-32, keempat-empat negara berkenaan mencapai kata sepakat untuk melaksanakan projek itu dalam usaha merealisasikan APG.

Maximus berkata, jawatankuasa kerja dan pasukan petugas khas teknikal LTMS sudah bertemu sebanyak 11 kali.

Katanya, hasil mesyuarat tersebut mereka bersetuju memuktamadkan persetujuan dengan menandatangani MOU berkenaan di sini.

Dalam pada itu, menurutnya, transaksi pelbagai hala antara tiga anggota ASEAN itu akan lebih mudah direalisasikan berikutan utiliti negara-negara terbabit berintegrasi antara satu sama lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2015 @ 6:00 AM