AINA Mardiah berbincang dengan rakannya, Awang Ku Adanan Pg Salleh, sebelum membuat keputusan. Gambar kecil Aina Mardiah memantau kerja di tapak projek.
AINA Mardiah berbincang dengan rakannya, Awang Ku Adanan Pg Salleh, sebelum membuat keputusan. Gambar kecil Aina Mardiah memantau kerja di tapak projek.
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Memegang prinsip terus berusaha tanpa menoleh ke belakang menjadikan wanita muda ini mampu bersaing seiring deng an golongan kontraktor pembinaan lelaki.

Walaupun pernah gagal, beliau bangkit semula meneruskan perniagaannya dan kini syarikatnya menguruskan sejumlah projek pembinaan di beberapa daerah di negeri ini.

Aina Mardiah Ferdaus, 28, yang memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari Universiti Selangor (UNISEL), memulakan perniagaan itu ketika masih menuntut di universiti berkenaan empat tahun lalu.

“Sejak kecil saya didedahkan dengan kerjaya kontraktor pembinaan kerana ayah adalah kontraktor. Saya kerap mengikuti ayah melakukan kerjanya dan biasa dengan keadaan panas serta tugasan meletihkan.

“Tambah pula, saya meminati aktiviti lasak. Di rumah pula, saya yang juga anak sulung daripada tiga beradik sering membantu ayah serta ibu menguruskan adik,” katanya ketika ditemui di pejabatnya A&Z Cahaya Enterprise di Bandar Springhill, di sini.

Menurutnya, beliau pernah menerima tawaran meneruskan pengajian di Jepun pada 2012, namun masalah kewangan yang teruk ketika itu menyebabkan beliau menolak pelawaan berkenaan.

Berikutan itu, katanya, beliau memilih menyambung pengajian di UNISEL dan pada masa sama membuka syarikat pembinaan bersama rakannya dengan modal permulaan RM2,500.

Malangnya, Aina berkata, rakannya melarikan diri dan mengambil semua wang milik syarikat menyebabkan beliau menanggung kerugian besar.

“Ketika itu, hanya Allah yang tahu bagaimana keadaan saya yang terpaksa menanggung hutang pembekal, gaji pekerja dan modal pusingan. Keadaan itu menyebabkan saya hilang fokus kepada pelajaran.

“Saya berusaha menyelesaikan masalah itu dan hampir semua bank saya pergi untuk membuat pinjaman tetapi gagal sebelum mendapat kelulusan pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN). Wang itulah saya gunakan untuk bangkit semula,” katanya.

Berkat kesungguhannya itu, Aina meneruskan semula perniagaannya dan menguruskan pelbagai projek pembinaan termasuk pembinaan rumah serta membaik pulih rumah di Port Dickson, Seremban, Nilai dan Rembau.

Ibu kepada dua anak berusia dua dan lima tahun itu berkata, syarikatnya kini mengendalikan lima projek serentak di beberapa daerah termasuk membaik pulih beberapa hotel terkemuka.

“Sekarang saya mempunyai 10 pekerja binaan. Suami saya tidak meminati bidang ini, namun dia sentiasa memberikan galakan dan dorongan kepada saya untuk terus berjaya,” katanya.

Ketekunannya bekerja dan sentiasa menjaga mutu perkhidmatan, membuatkan syarikat pembinaan wanita besi itu kini semakin menjadi pilihan pelanggan dan Aina menyimpan impian membesarkan empayar perniagaannya itu sebelum usianya 40 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2017 @ 8:35 AM