MAS Ermieyati  (tengah) ketika melancarkan program Kempen Kesedaran Kemurungan  di sini, semalam sambil diapit Nor Hayati (kanan) dan Pengarah Pusat Maklumat Kesihatan, Dr Mohd Rashidi Abdul Salam.
MAS Ermieyati (tengah) ketika melancarkan program Kempen Kesedaran Kemurungan di sini, semalam sambil diapit Nor Hayati (kanan) dan Pengarah Pusat Maklumat Kesihatan, Dr Mohd Rashidi Abdul Salam.
Asrizal Aris


Kuala Lumpur: Kira-kira satu pertiga penduduk di negara ini mengalami penyakit kemurungan seumur hidup berdasarkan statistik Kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) yang dijalankan pada 2015.

Statistik juga mencatatkan peningkatan sebanyak 29.2 peratus atau 4.2 juta rakyat negara ini berusia 16 tahun ke atas mengalami masalah kesihatan mental berbanding 2006 yang hanya mencatatkan 11.2 peratus.

Pakar Perunding Psikiatri Hospital Selayang, Dr Nor Hayati Ali berkata, sekiranya penyakit itu tidak dibendung, jumlah mangsa yang dianggarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) boleh mencecah lebih 300 juta orang di seluruh dunia.

Menurutnya, penyakit kemurungan antara penyakit mental yang perlu dirawat melalui rawatan biologi dan harus ditangani berikutan peningkatan kes dari tahun ke tahun.

“Oleh itu, buat kali pertama sejak 1948, WHO memilih tema kemurungan bagi kempen kesedaran sempena Hari Kesihatan Sedunia 2017 bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai bahaya kemurungan.

“Penyakit ini merangkumi faktor penyebab dan mitos yang boleh membawa kepada akibat yang tidak dijangka termasuk membunuh diri.

“Oleh itu, kesedaran dan sokongan antara satu sama lain adalah perlu bagi memerangi tanda awal kemurungan,” katanya ketika ditemui pada Kempen Kesedaran Kemurungan: Jom Bincangkan di Sunway Putra Mall, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang merasmikan majlis berkenaan.

Mas Ermieyati berkata, semua pihak perlu memainkan peranan apabila membabitkan kesihatan termasuk penyakit kemurungan yang dijangka menjadi penyakit kedua terbesar menyumbang kepada penyakit global menjelang 2020.

“Kajian menunjukkan peningkatan namun statistik tidak penting kerana yang paling utama adalah kesedaran untuk masyarakat tangani segera penyakit kemurungan.

“Masyarakat masih lagi kurang kefahaman dan ilmu mengenai kemurungan. Sebab itu program kesedaran perlu digalakkan bagi mengatasi stigma kepada semua lapisan usia untuk bercakap mengenai kemurungan,” katanya.

Menurutnya, pelancongan dan kebudayaan juga boleh dikolaborasikan dengan aspek kesihatan bagi menangani kemurungan yang boleh dijadikan sebagai rawatan melepaskan tekanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2017 @ 7:53 AM