Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Isu kesihatan mental dan kecenderungan bunuh diri dalam kalangan rakyat Malaysia seperti didedahkan muka depan Metro Ahad pada 10 September lalu dibawa ke Dewan Rakyat hari ini.

Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 berkata, penyakit mental kini berada di kedudukan kedua masalah kesihatan utama Malaysia selepas penyakit jantung dan ia dilihat ketara meningkat ketara negara ini bergelut dengan krisis pandemik Covid-19.

"Isu yang ditimbulkan oleh Harian Metro 10 September 2023 pada muka hadapan yang lalu iaitu masalah kesihatan mental terutamanya dalam kalangan pelajar didapati semakin membimbangkan.

"..dengan bilangan pelajar yang mempunyai idea untuk membunuh diri didapati meningkat kepada 13.1 peratus pada 2022 membabitkan lebih 4,300 orang, berbanding 10 peratus pada lima tahun sebelumnya," katanya.

Roslan berkata, hasil kajian itu memberi petunjuk kepada semua pihak bahawa perhatian serius perlu diberikan kepada isu kesihatan mental pelajar sekolah.

Beliau juga mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) supaya menjalinkan kerjasama yang lebih menyeluruh dalam menangani masalah ini.

"Justeru, saya ingin mencadangkan selain lawatan doktor gigi atau jururawat ke sekolah, hospital dan klinik psikiatri juga boleh ke sekolah dan memberi ceramah kesedaran atau pemeriksaan kesihatan mental dilakukan kepada pelajar kita.

"Lawatan berkala boleh dilakukan dengan kerjasama guru kaunselor dan ini boleh mengurangkan kadar masalah kesihatan mental di sekolah kita," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, kajian mendapati seorang daripada 10 remaja di negara ini cuba untuk menamatkan riwayat atas pelbagai faktor seperti tekanan perasaan, masalah keluarga dan kemurungan.

Statistik menunjukkan peningkatan sejak 2017, membawa kepada satu keadaan baharu iaitu mengambil nyawa sendiri sebagai jalan penyelesaian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2023 @ 7:19 PM