JEMAIN diiringi anggota polis ke mahkamah, semalam.
JEMAIN diiringi anggota polis ke mahkamah, semalam.
Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Alor Setar, di sini, semalam atas dua pertuduhan penipuan membabitkan Dana Emas Raja-Raja Melayu pada November 2016 hingga Februari lalu.

Tertuduh, Jemain Yatim, 60, dari Kampung Sinaran Baru, Kempas, Johor membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa menipu Abdul Halim Mohd Noor, 62, membabitkan wang kutipan RM13,050 yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB tertuduh bagi Dana Emas Raja-Raja Melayu di daerah ini antara jam 8.28 malam, 30 November 2016 hingga jam 11.38 pagi, 29 Disember lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Jemain menipu Abdul Halim membabitkan wang kutipan RM63,150 yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB tertuduh bagi Dana Emas Raja-Raja Melayu di daerah ini antara jam 12.03 tengah hari, 2 Januari lalu hingga jam 3.37 petang, 11 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Eliana Ismail yang mencadangkan tertuduh diikat jamin RM40,000 untuk kedua-dua pertuduhan bersama seorang penjamin kerana ia membabitkan isu kerabat diraja, selain usaha mencarinya sukar sehingga terpaksa menggunakan media.

Jemain yang tidak diwakili peguam merayu supaya wang jaminan dikurang memandangkan dia sudah berusia 60 tahun dan tidak bekerja.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 untuk kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan 16 Mei depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen serta melantik peguam.

Harian Metro pada 31 Mac lalu melaporkan seorang bekas anggota polis berusia 35 tahun dan suami isteri berusia 58 serta 60 tahun diburu polis kerana disyaki menjadi dalang sindiket penipuan pelaburan Dana Emas Raja-Raja Melayu membabitkan kerugian RM342,250.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah Superintendan Chang Teik Paing berkata, kegiatan kumpulan itu terbongkar selepas pegawai dari Bahagian Keselamatan Istana Anak Bukit menafikan kewujudan skim pelaburan terbabit sebelum membuat laporan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2017 @ 6:17 AM