NAJIB diiringi Rosmah melawat pameran pada pelancaran Kongres Budaya 2017, semalam.
NAJIB diiringi Rosmah melawat pameran pada pelancaran Kongres Budaya 2017, semalam.
Siti Fatimah Hassan


Bangi: Sikap berpegang teguh terhadap nilai budaya yang tinggi perlu dikembalikan ke dalam masyarakat kerana ia perlu bergerak seiring dengan aspirasi Program Transformasi 2050 atau TN50 dalam memacu serta menjayakan hasrat Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, ia satu cabaran kepada negara untuk meletakkan masyarakat kepada landasan sebenar terutama dalam menjadikan sebuah masyarakat berbudaya tinggi disebabkan terdapat banyak ancaman luar yang mempengaruhi acuan budaya tempatan.

Katanya, ancaman utama yang menjadi kebimbangan ketika ini ialah ledakan fenomena Internet dan media sosial kerana ia membawa impak serta pengaruh besar kepada masyarakat.

“Menjadi hasrat saya untuk memekarkan kembali nilai budaya tinggi menerusi TN50 yang bukan saja mampu untuk memacu Malaysia menjadi sebuah negara maju, tetapi juga bergerak seiring dengan gagasan untuk mewujudkan sebuah negara yang mempunyai penduduk berpegang teguh kepada nilai budaya tinggi.

“Unsur budaya tinggi yang harus diamalkan seperti merendah diri, menjaga kebersihan, menghormati dan memelihara alam sekitar, tolong-menolong dan budaya bergotong-royong, namun semakin menipis dalam kalangan generasi muda. Kebanyakan mereka dipengaruhi sifat mementingkan diri sendiri dan memburu kepuasan segera.

“Menjadi satu cabaran kepada kita semua untuk meletakkan kembali masyarakat ke landasan yang betul khasnya dalam mewujudkan masyarakat berbudaya tinggi. Sikap tidak menghormati golongan lebih tua, guru, sahabat mahupun masyarakat sekeliling semakin membimbangkan.

“Pengaruh media sosial seakan memperhebatkan lagi pengaruh budaya luar yang jauh berbeza acuannya jika dibandingkan dengan rentak budaya tempatan apatah lagi dengan penggunaan bahasa rojak termasuk bahasa ringkas SMS yang menghakis keutuhan bahasa Melayu itu sendiri,” katanya berucap sempena pelancaran Kongres Budaya 2017 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, semalam.

Hadir sama, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan Pengerusi Kongres Budaya 2017 merangkap Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia Tan Sri Dr Rais Yatim, Pengerusi Lembaga UKM Tan Sri Dr Ibrahim Saat dan Naib Canselor UKM Prof Datuk Seri Dr Noor Azlan Ghazali.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2017 @ 5:20 AM