SEBAHAGIAN GRO warga asing yang ditahan di pusat hiburan di  Jalan Sultan Nazrin Shah, kelmarin.
SEBAHAGIAN GRO warga asing yang ditahan di pusat hiburan di Jalan Sultan Nazrin Shah, kelmarin.
Farah Suhaidah Othman


Ipoh: Kemunculan wanita cantik persis selebriti popular Hong Kong dipercayai antara tarikan utama di sebuah pusat hiburan di Jalan Sultan Nazrin Shah, di sini, apabila sering dikunjungi lelaki hidung belang.

Bagaimanapun, helah pemilik pusat hiburan berkenaan terbongkar apabila sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak menyerbu premis berkenaan tengah malam kelmarin.

Seramai 32 wanita warga asing yang dipercayai pelayan pelanggan (GRO) ditahan dalam serbuan Op Noda itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Datuk Gan Tian Kee berkata, dalam serbuan bermula jam 11.15 malam, seramai 27 wanita warga China manakala lima lagi warga Vietnam dipercayai bekerja sebagai GRO ditahan.

Katanya, polis turut menahan tiga lelaki berusia antara 25 hingga 35 tahun dipercayai penjaga premis pusat hiburan berkenaan.

“Semua yang ditahan dibawa ke IPK Perak bagi tujuan pemeriksaan dokumentasi.

“Turut dirampas satu salinan Lesen Di bawah Enakmen Panggung-panggung dan Tempat Hiburan Awam 1936 dan salinan Lesen Rumah Awam/Lesen Rumah Bir bagi tujuan siasatan,” katanya.

Beliau berkata, tiga lelaki yang ditahan direman tiga hari bermula semalam hingga Jumaat untuk siasatan.

“Semua wanita berkenaan direman dua minggu bagi membantu siasatan.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39 (b), Peraturan-peraturan Imigresen,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2017 @ 4:34 AM