KAM diselamatkan pasukan APMM menggunakan bot laju sebelum dihantar ke Hospital Balik Pulau, malam kelmarin.
KAM diselamatkan pasukan APMM menggunakan bot laju sebelum dihantar ke Hospital Balik Pulau, malam kelmarin.

Georgetown: Seorang wanita warga Singapura yang bercuti dengan mengikuti pelayaran dari Pulau Pinang ke Phuket, Thailand bersama kapal persiaran mewah Ovation Of The Seas diserang sakit jantung, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.35 malam, Kam Ten Pon, 67, mengalami serangan jantung ketika berada di atas kapal berkenaan sebelum panggilan kecemasan dibuat kepada pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Pengarah Maritim Daerah Maritim 2 Pulau Pinang Kepten Maritim Rozali Mohd Said berkata, pihaknya menerima panggilan meminta bantuan membawa mangsa dan ketika itu kapal berkenaan berada pada kedudukan 4.12 batu nautika dari perairan Pulau Pinang.

Beliau berkata, sepasukan anggota dihantar ke kapal persiaran mewah berkenaan dengan sebuah bot dan tiba beberapa minit kemudian sebelum membawa pulang mangsa dalam keadaan selamat.

“Mangsa dibawa balik ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Teluk Bahang pada jam 9.35 malam sebelum dibawa ke Hospital Balik Pulau bagi pemeriksaan dan rawatan lanjut dan dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya

Bagi sebarang bantuan kecemasan boleh hubungi Malaysian Emergency Respond System (MERS 999) atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang (24 jam) di talian 04-2626146 jika mempunyai sebarang maklumat berhubung jenayah dan kemalangan di perairan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2017 @ 10:17 AM