MARY Yap bergambar bersama pengunjung KPTN.
MARY Yap bergambar bersama pengunjung KPTN.
Khairul Najib Asarulah Khan


Nilai: Sebanyak 120,000 kekosongan ditawarkan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk program pengajian sesi akademik 2017.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Dr Mary Yap Kain Ching berkata, kekosongan itu membabitkan 20 universiti awam, 30 Politeknik dan 94 Kolej Komuniti.

Menurutnya, seramai 430,000 calon menduduki SPM tahun lalu dan 400,000 daripadanya layak memohon menyambung pengajian menerusi sistem Unit Pengambilan Universiti (UPU).

Katanya, permohonan UPU masih dibuka dan pihaknya mengharapkan lebih ramai yang memohon sebelum tarikh tutup pada 5 April depan.

“Pelajar digalakkan memilih institusi dalam negara untuk melanjutkan pelajaran. Bagi mereka yang tidak berjaya boleh memohon di institusi pengajian tinggi swasta mengikut minat masing-masing.

“Institusi pengajian di negara ini setaraf dengan luar negara. Ia terbukti apabila lima universiti tersenarai dalam kelompok 50 terbaik dunia,”katanya ditemui selepas Majlis Perasmian Penutupan Karnival Pendidikan Tinggi Negara (KPTN) 2017 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini, semalam.

Turut hadir, Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Musa Ahmad.

Mary Yap berkata, KPTN 2017 mencatatkan kehadiran 200,000 pengunjung sejak diadakan pada Februari lalu di lima zon iaitu Kelantan, Perlis, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

USIM menjadi tuan rumah bagi penganjuran KPTN 2017 peringkat zon tengah yang diadakan bermula semalam hingga hari ini.

Pada majlis itu, turut diadakan simbolik pertukaran memorandum perjanjian (MoA) antara USIM dengan tiga syarikat iaitu Perfect Triangle Sdn Bhd, INDKOM Engineering Sdn Bhd dan Nilai Infinity Capital Sdn Bhd yang bertujuan pembangunan pendidikan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2017 @ 10:00 AM