ABD Latif dibebaskan dengan jaminan SPRM RM200,000 semalam.
ABD Latif dibebaskan dengan jaminan SPRM RM200,000 semalam.
Mohd Sabran Md Sani


Johor Bahru: Selepas tujuh hari direman, exco negeri Johor, Datuk Abd Latif Bandi yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor berhubung skandal penyelewengan hartanah di negeri ini, akhirnya dibebaskan dengan jaminan SPRM RM200,000, semalam.

Kebenaran membebaskan tertuduh daripada reman diperoleh SPRM menerusi permohonan dikemukakan Penolong Penguasa SPRM Johor, Yunus Mohamed di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Johor Bahru, Saba’ton Daud jam 9.25 pagi.

Suspek yang berpakaian lokap oren membayar jumlah jaminan berkenaan namun siasatan terhadapnya mengikut Seksyen 17(a), Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 masih diteruskan.

Terdahulu, dua kenderaan milik SPRM tiba di pekarangan mahkamah jam 9.10 pagi menyebabkan lensa jurugambar terus fokus ke arah kenderaan berkenaan sebelum Abd Latif dibawa keluar ke tingkat satu bangunan itu.

Abd Latif kemudian diiringi empat pegawai SPRM sebelum proses permohonan berkenaan mengambil 15 minit dan dilihat keluar dari kamar Saba’ton pada jam 9.25 pagi dan dibawa semula ke kenderaan milik SPRM lima minit kemudian.

Sejurus keluar, beberapa individu dipercayai kenalan dan ahli keluarga memeluk dan mencium pipinya sebelum Abd Latif meninggalkan pekarangan mahkamah bagi pembebasannya sejurus menjelaskan jumlah jaminan dibenarkan.

SPRM pada Khamis lalu menahannya selepas disyaki terbabit dengan skandal rasuah hartanah di negeri itu.

Perkara itu disahkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Azam Baki selepas Exco yang bercuti ditahan di pejabat SPRM Johor, jam 11 pagi.

Tindakan itu bagi membantu siasatan berhubung skandal rasuah membabitkan penyelewengan hartanah di negeri itu.

Sebelum ini, exco berkenaan dilaporkan mengemukakan cuti bagi jawatan disandangnya untuk membersihkan namanya berikutan siasatan yang turut menahan anak dan pegawainya yang disiasat dalam isu itu.

Sementara itu, permohonannya untuk menyemak semula tempoh penahanan reman tujuh hari yang dikeluarkan Mahkamah Rendah terhadapnya ditolak Mahkamah Tinggi, di sini, pada 14 Mac lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak selepas mendengar hujahan barisan pembelaan yang mewakili Abd Latif selaku pemohon dan pihak pendakwaan SPRM sebagai responden.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2017 @ 5:15 AM