ABDUL Latiff  diiringi anggota SPRM tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru.
ABDUL Latiff diiringi anggota SPRM tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru.
Ibrahim Isa


Johor Bahru: Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Abdul Latiff Bandi ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan skandal rasuah status hartanah di Johor.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Nur Sulehan Abd Rahman bermula semalam bagi membolehkan SPRM menjalankan siasatan selepas menahan suspek kira-kira jam 10.50 pagi kelmarin.

Beliau ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Johor, di sini dan disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM dan Seksyen 4 Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Penahanan itu dilakukan SPRM selepas membebaskan anak dan pembantu khasnya sebelum siasatan beralih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau itu.

Sebelum ini, empat suspek termasuk anak, pegawai khasnya, peguam dan seorang orang awam yang disyaki terbabit dalam skandal rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri ini dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Terdahulu, SPRM membebaskan dua pemaju yang ditahan bersama empat suspek itu pada 24 Februari lalu dengan jaminan SPRM pada 3 Mac lalu, manakala seorang kontraktor dibebaskan dengan jaminan sama, 7 Mac lalu.

Pada 24 Februari lalu, mereka ditahan di beberapa lokasi sekitar daerah ini pada operasi serentak dilancarkan SPRM bermula jam 8.30 pagi.

Penahanan itu dibuat bagi membantu siasatan selepas mereka disyaki terbabit dalam skandal rasuah dan penyelewengan membabitkan hartanah dalam isu penukaran status rumah Bumiputera kepada bukan Bumiputera.

Kelmarin, SPRM merampas wang tunai sebanyak RM41,000, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire dan 150 beg tangan pelbagai jenama hasil siasatan di rumahnya, di sini.

Sejak 1 Mac lalu, Abd Latif bercuti daripada jawatannya berikutan siasatan SPRM terhadap skandal rasuah membabitkan jawatankuasa diketuainya itu.

Suspek berusia 51 tahun itu tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru di sini, pada jam 9.11 pagi diiringi Pegawai SPRM dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Beliau kemudian dibawa keluar meninggalkan kompleks mahkamah pada jam 11.20 pagi selepas perintah tahanan reman dikeluarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2017 @ 8:25 AM