PENGAMAL hipnosis, Ting Wee (kanan) melakukan sesi hipnoterapi ke atas Derrick Chen.
PENGAMAL hipnosis, Ting Wee (kanan) melakukan sesi hipnoterapi ke atas Derrick Chen.
Norizuan Shamsuddin


Kuala Lumpur: Mampu buat mangsa dipukau hanya dalam tempoh beberapa minit. Itu kepakaran ditunjukkan 100 pakar hipnoterapi tempatan yang menggunakan kebolehan berkenaan untuk menyembuhkan penyakit.

Walaupun ada yang mengaitkan kebolehan itu dengan ilmu hitam atau sihir, perkara itu dinafikan mereka yang berupaya menguasai minda separuh sedar manusia.

Persatuan Pengamal Hipnoterapi Malaysia (AHPM) satu-satunya badan kerajaan ditubuhkan di negara ini bagi memperkembangkan kaedah rawatan konvensional ini yang wujud sejak ratusan tahun dahulu.

Presidennya Dr Lennie Soo berkata, AHPM bertanggungjawab mengendalikan daftar pengamal dan jurulatih hipnoterapi berkelayak an di negara ini.

“Terdapat 100 pengamal hipnoterapi di seluruh Malaysia yang berdaftar dengan AHPM dan kami satu-satunya badan kerajaan di negara ini untuk pengamal mendaftarkan diri,” katanya ketika ditemui pada Hari Terbuka AHPM di rumah Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM), di sini.

Menurutnya, hipnoterapi adalah rawatan konvensional berkaitan kejiwaan dan boleh membantu kehidupan harian manusia.

“Secara amnya, rawatan hipnoterapi kini diterima secara meluas dalam dunia perubatan Barat, namun di negara ini masih ramai berpandangan negatif terhadapnya.

“Walaupun kaedah rawatan hipnoterapi sudah lama diamalkan di negara ini, ia tidak dominan seperti rawatan alternatif lain antaranya homeopati dan akupunktur.

Menjelaskan mengenai kaedah rawatan digunakan itu, Lennie berkata, hipnosis ialah keadaan separa sedar yang membuatkan seseorang dapat menenangkan fizikal dan mental sehingga membolehkan dia membuat perubahan kelakuan sebagaimana dikehendakinya.

Katanya, kaedah rawatan ini adalah saintifik, tidak menggunakan sihir atau ilmu hitam seperti pukau yang dilakukan bagi menguasai minda dan kelakuan seseorang bagi melakukan sesuatu mengikut apa yang diperintahkan.

“Rawatan hipnoterapi adalah alternatif perubatan yang menggunakan teknik hipnosis. Kaedah hipnosis adalah cara untuk menyelami minda dalam keadaan mental separa sedar dan ia tidak menggunakan sihir atau ubat yang memberi kesan sampingan.

“Ada banyak cara boleh dilakukan untuk mencapai minda separuh sedar sama ada berbaring atau duduk mengikut keselesaan pesakit dan mereka perlu membayangkan sesuatu yang menenangkan di samping menumpukan pendengaran kepada suara pengamal hipnoterapi.

“Dalam perawatan, mereka diminta menenangkan diri dan membayangkan diri seperti disarankan dan pengamal hipnoterapi pula memandu minda mereka menerusi tutur kata,” jelasnya.

Sementara itu, seorang pengamal hipnosis bertauliah, Muhammad Haniff Hashim ketika ditemui berkata, hipnosis adalah cara paling berkesan untuk kita berhubung atau berkomunikasi dengan diri sendiri yang dalam keadaan separa sedar.

Katanya, rawatan ini juga diperluaskan dalam pelbagai bentuk bagi mengubati beberapa masalah psikologi seperti fobia, ketagihan, kawalan tabiat, pengurusan kesakitan, psikoterapi dan sebagainya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2017 @ 5:45 AM