PROSES kehamilan memerlukan pengisian yang lebih holistik.
PROSES kehamilan memerlukan pengisian yang lebih holistik.
Muhamaad Razis Ismail


SAKIT, memenatkan dan ngeri. Itu antara pengalaman bersalin sering digambarkan oleh mereka yang pernah melahirkan anak.

Gambaran awal ini sering dimomokkan sejak dulu lagi sehingga memberi persepsi negatif dalam proses melahirkan anak.

Bagi wanita yang baru pertama kali hamil, keadaan ini sudah pasti memberi tanggapan awal bahawa proses melahirkan anak bukanlah sesuatu yang menyeronokkan.

Apabila perkara yang tidak 'best' ini sudah berada atau 'ditanam' di dalam minda sejak daripada awal sebelum dimasukkan bilik bersalin, wanita itu sudah pasti akan berasa sakit ketika bersalin.

Perkara ini diakui Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Dr Lily Fariza Karim yang berpengalaman selama 20 tahun menyambut lebih 15,000 kelahiran bayi.

Berdepan dengan pelbagai kes membabitkan proses kelahiran membuatkannya tertanya-tanya mengapa ada yang melahirkan anak dengan mudah dan sebaliknya.

Beliau sering berdepan dengan ramai dalam kalangan pesakit yang apabila ditanya dan pastinya jawapan 'bersalin itu sakit.'

"Semua maklumat itu diperoleh pesakit sama ada dalam kalangan ahli keluarga atau rakan yang menceritakan pengalaman melahirkan anak adalah situasi mengerikan tambahan pula bagi yang terpaksa menjalani pembedahan.

PROSES melahirkan anak sepatutnya menyeronokkan.
PROSES melahirkan anak sepatutnya menyeronokkan.

"Jadi apabila dia perlu melalui proses bersalin, 'sakit' adalah perkara yang sudah dibayangkan sehingga dia mengalaminya ketika melalui proses itu," katanya.

Jelasnya, selain itu, perkara negatif ini boleh mengakibatkan wanita tidak bersedia untuk melahirkan anak sekali gus menyebabkan proses 'bukaan jalan' menjadi lambat.

"Orang kita suka bercerita hal-hal negatif, seperti takut dibedah dan risiko bedah sehingga menyebabkan wanita juga menjadi negatif.

"Ini antara mentaliti masyarakat yang masih percaya perkara seumpama ini sehingga memberi kesan kepada wanita yang ingin bersalin.

"Justeru itu, saya berazam untuk mencegah perkara ini untuk menjadikan proses melahirkan anak adalah proses menyeronokkan," katanya.

RAMAI dimomokkan melahirkan anak adalah menyakitkan.
RAMAI dimomokkan melahirkan anak adalah menyakitkan.

Dr Lily berkata, kebiasaannya, bakal ibu sering mengutamakan rutin pemeriksaan kehamilan, pemilihan hospital bersalin dan pakej bersalin serta pakej berpantang sehingga terlepas pandang mengenai 'mengisi' emosi dan spiritualiti sepanjang sembilan bulan ini.

Katanya, menerusi kaedah hipnosis diri dan asas senaman 'antenatal' serta 'postnatal' dapat mengubah selain mencorak pengalaman kehamilan dan kelahiran yang lebih ceria, mudah dan boleh mencegah komplikasi.

"Perkara ini sebenarnya boleh ditangani daripada awal dengan mengoptimumkan Minda Separa Sedar (Subconscious Mind) untuk berfikiran positif sejak di awal kehamilan.

"Dengan menggunakan kaedah hipnosis diri dapat membantu memudahkan proses bersalin dan pada masa sama membantu memudahkan peranan kita sebagai isteri dan ibu," katanya.

Mengulas lanjut, menerusi hipnosis diri, antara perkara yang diajar kepada pesakit adalah proses pernafasan.

"Menerusi kaedah ini, boleh membantu membuatkan proses bersalin itu menjadi tidak sakit dan menjadi lebih mudah apabila si ibu sudah sudah membina kekuatan di mindanya.

MENGISI emosi dan spiritualiti sepanjang sembilan bulan hamil amat penting.
MENGISI emosi dan spiritualiti sepanjang sembilan bulan hamil amat penting.

"Tiada lagi rasa rimas dengan seribu satu masalah ketika hamil, tiada lagi igauan atau bayangan ngeri yang menghantui proses bersalin yang akan dilalui," katanya.

Menyedari keperluan pengetahuan ini, Dr Lily aktif mengadakan kelas untuk melalui proses kehamilan dengan ceria seterusnya proses bersalin yang mudah dan menyenangkan.

"Ia sesuai untuk bakal ibu kali pertama yang mungkin masih kabur dan keliru mengenai apa yang akan dilalui atau yang sudah beberapa kali melahirkab anak, tetapi mengharapkan pengalaman yang lebih indah dan bermakna.

"Saya akan berkongsi mengenai pengalaman ibu melalui proses kehamilan dengan pengisian lebih holistik iaitu pengisian fizikal, mental, emosi dan spiritual. Pada masa sama, membantu membentuk peribadi bayi anda ke arah yang lebih baik.

"Kelas ini turut akan membantu ibu-ibu membentuk karakter dan membina nilai diri anak dalam kandungan itu, supaya menjadi anak yang mudah diasuh bila dilahirkan nanti," katanya.

PERIKSA jantiNA bayi untuk membentuk anak sejak dari kandungan.
PERIKSA jantiNA bayi untuk membentuk anak sejak dari kandungan.

Salah seorang ibu yang dikenali sebagai Yuna berkata, pada mulanya dia sukar menerima keberkesanan kaedah ini.

"Proses melahirkan tiga anak sebelum itu bagi saya boleh ibaratkan sebagai mimpi ngeri apabila terpaksa melalui proses gesaan bersalin (induce).

"Kemudian saya praktikkan apa yang dipelajari dengan Dr Lily, tanpa sedari proses melahirkan anak keempat menjadi mudah dan tidak menyakitkan jauh berbeza sebelum ini," katanya.

MENGOPTIMUMKAN Minda Separa Sedar untuk berfikiran positif dapat memudahkan kelahiran.
MENGOPTIMUMKAN Minda Separa Sedar untuk berfikiran positif dapat memudahkan kelahiran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 6:20 AM