ROSMAH   bersama peserta pada majlis penutupan Seminar Jenayah Seksual Kanak-Kanak: Hentikan! di PWTC.
ROSMAH bersama peserta pada majlis penutupan Seminar Jenayah Seksual Kanak-Kanak: Hentikan! di PWTC.
Suraya Roslan dan Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Modus operandi penjenayah seksual yang semakin licik dan canggih terutama menggunakan media sosial menjadi ancaman yang memerlukan semua pihak berganding bahu membanteras kegiatan tidak bermoral itu.

Penaung PERMATA Negara Datin Seri Rosmah Mansor berkata, kajian daripada panel perbincangan Seminar Jenayah Seksual Kanak-kanak: Hentikan!! menunjukkan kebanyakan kes berlaku di luar bandar dan pelaku dikenali mangsa serta menjadi kepercayaan keluarga.

“Penggunaan Internet dan media sosial seperti Wechat akan mengubah profil penjenayah seksual daripada pelaku dikenali kepada tidak dikenali.

“Sifat jenayah seksual ini juga sama didapati di negara lain. Satu perkara perlu diberi perhatian adalah pengalaman Australia yang mendedahkan jenayah seksual juga dilakukan remaja dan kanak-kanak,” katanya dalam ucapan penutup seminar berkenaan, di sini, semalam.

Rosmah yang juga isteri Perdana Menteri berkata, Malaysia berada di landasan yang tepat dengan penganjuran seminar berkenaan hingga menerima pujian daripada Permaisuri Sweden Silvia Renate.

“Semalam (kelmarin) saya menerima surat ucapan tahniah daripada Silvia yang menyifatkan Malaysia berada di landasan yang betul dalam menangani jenayah seksual.

“Isi kandungan surat berkenaan menyatakan kebanyakan negara sudah ada akta tetapi kurang program kesedaran berbanding Malaysia yang mewujudkan program kesedaran terlebih dulu sebelum mewujudkan perundangan,” katanya.

Menurutnya, dia meminta semua isteri Menteri Besar dan wakil rakyat mengambil inisiatif mengadakan program seumpama itu di peringkat negeri masing-masing bagi memberikan kesedaran awal kepada masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2017 @ 6:05 AM