Rosmah (kiri) dan Megawati  pada sidang media sebelum Jamuan Makan Malam yang dihoskan Rosmah di Seri Perdana, hari ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Rosmah (kiri) dan Megawati pada sidang media sebelum Jamuan Makan Malam yang dihoskan Rosmah di Seri Perdana, hari ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Hayati Ibrahim

Putrajaya: Bekas Presiden Indonesia Megawati Soekarnoputri memuji inisiatif yang diambil Malaysia untuk menangani jenayah seksual dalam kalangan kanak-kanak.

Beliau yang juga Presiden Kelima republik itu berkata, jenayah seksual dalam kalangan kanak-kanak bukan hanya isu sesebuah negara, tetapi membabitkan peringkat antarabangsa.

Justeru, beliau berkata, idea isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor menganjurkan Seminar Kebangsaan Jenayah Seksual Kanak-Kanak:Hentikan!!! tepat pada masanya kerana ia amat penting untuk wanita dan kanak-kanak di seluruh dunia.

"Dalam ucap tama yang akan disampaikan Selasa ini, saya akan mengetengahkan mengenai sudah banyak undang-undang digubal atau diwujudkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan sebagainya.

"Tetapi yang penting pelaksanaannya dalam menentang kekerasan terhadap kanak-kanak terutama jenayah seksual,"katanya pada sidang media sebelum menghadiri Jamuan Makan Malam yang dihoskan Rosmah di Seri Perdana, hari ini.

Turut mengiringi beliau adalah Menteri Koordinator Bidang Pembangunan Manusia dan Kebudayaan Puan Maharani dan Menteri Kesihatan Nila Djuwita Anfasa Moeloek.

Kedatangan beliau ke Malaysia adalah atas Rosmah merangkap Penaung PERMATA bagi menghadiri seminar berkenaan yang bermula esok hingga Selasa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.

Sementara Rosmah berkata, Megawati akan memberi ucapan khas bertajuk 'Kerjasama ASEAN dalam membanteras jenayah seksual kanak-kanak' pada hari kedua seminar berkenaan.

"Kehadiran Megawati menjadi titik permulaan hubungan kerjasama terutama dari aspek isu wanita dan kanak-kanak.

"Saya berharap kerjasama ini dapat dieratkan lagi selepas ini,"katanya.

Turut hadir ialah jurucakap bagi mempromosikan seminar terbabit termasuk Lisa Surihani, Harith Iskander dan Hunny Madu.

Seminar dua hari itu yang akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak esokbertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan cara melindungi mereka.

Menerusi penganjuran seminar itu, pihak berkaitan boleh mendapatkan komitmen semua pihak dalam usaha mencegah dan membasmi jenayah seksual terhadap kanak-kanak serta menyediakan perkhidmatan sokongan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2017 @ 10:23 PM