MOHD Saifullah mengendalikan dron bagi tujuan menyembur racun dan baja di sawah di Kampung Paya Kerchut, Pendang.FOTO Noorazura Abdul Rahman
MOHD Saifullah mengendalikan dron bagi tujuan menyembur racun dan baja di sawah di Kampung Paya Kerchut, Pendang.FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman

BERMULA dengan menggunakan dron untuk menyembur racun dan baja di sawah milik keluarga, seorang pemuda di Kampung Paya Nedam, Pendang kini menjadikannya sebagai kerjaya.

Permintaan yang diterima daripada pesawah mampu memberi pendapatan empat angka sebulan kepada Mohd Saifullah Halim, 22.

Mohd Saifullah berkata, permintaan terhadap perkhidmatan itu meningkat secara mendadak sejak musim menanam padi bermula April lalu, sehingga dia mampu meraih pendapatan RM5,000 sebulan.

Katanya, dia mula menawarkan perkhidmatan dron sejak awal tahun lalu, kerana ia mampu meringankan beban pesawah dan mempercepatkan proses menyembur racun serta baja.

"Pada mulanya saya hanya memiliki satu unit dron untuk kegunaan sendiri bagi menyembur di sawah milik bapa seluas 11 hektar, tetapi selepas itu rakan bapa pula mengupah saya melakukan proses sama di sawah mereka.

"Sambutan ketika dua musim menanam sebelum ini sangat menggalakkan sehingga saya mampu membeli satu lagi unit dron untuk mempercepatkan kerja," katanya ketika ditemui.

MOHD Saifullah (kanan) melihat pekerjanya mengisi racun untuk sebelum menerbangkan dron. FOTO Noorazura Abdul Rahman
MOHD Saifullah (kanan) melihat pekerjanya mengisi racun untuk sebelum menerbangkan dron. FOTO Noorazura Abdul Rahman

Mohd Saifullah yang juga anak kedua daripada tiga beradik berkata, dia kini turut mengambil dua pekerja bagi membantunya melakukan kerja menyembur racun dan baja di sawah.

Katanya, setiap hari mereka mampu melakukan semburan di kawasan seluas sehingga 10 hektar sawah dengan upah antara RM12 hingga RM20 bagi setiap 0.29 hektar.

"Permintaan menyembur racun dan baja turut meningkat ketika tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kerana mungkin ramai petani lebih berhati-hati dan bimbang penularan wabak Covid-19.

"Kebaikan teknik semburan menggunakan dron adalah ia lebih rata dan cepat, sekali gus meningkatkan hasil padi berbanding semburan biasa," katanya.

Dia yang juga bekas pelajar Institut Latihan Perindustrian (ILP) berkata, setakat dia menerima permintaan daripada pesawah di sekitar Pendang, Alor Setar dan Yan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2020 @ 4:54 PM