PELAJAR membawa  al-Quran sambil dipantau guru di kelas  mengaji PERTIS.
PELAJAR membawa al-Quran sambil dipantau guru di kelas mengaji PERTIS.

Kuala Nerus: Walaupun cacat penglihatan, demi celik al-Quran, lelaki buta sanggup turun naik bas dan kereta sewa berulang-alik dari Kemaman ke rumah Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) di Kuala Nerus semata-mata bagi mengikuti kelas mengaji.

“Jarak yang jauh dan keadaan terbatas, kadangkala sampai kelas sudah hampir tamat,” kata Mohd Syafful Manaf, 27, dari Telok Kalong, Kemaman.

Dia baru tiga bulan mengikuti kelas mengaji al-Quran di PERTIS kerana sebelum ini bekerja di pusat urutan refleksologi selama dua tahun di Kuala Lumpur.

Beliau dimaklumkan rakan mengenai kelas mengaji al-Quran di PERTIS Kuala Nerus.

Katanya, dia mengambil keputusan pulang ke kampung bagi membolehkannya mengaji al-Quran.

“Saya tinggal di Kemaman dan terpaksa berbelanja lebih untuk tambang setiap kali mengikuti kelas mengaji.

“Tambang teksi dari rumah saya di Telok Kalong ke Stesen Bas Kemaman RM20 manakala tiket bas pergi balik dari Kemaman ke Kuala Terengganu pula RM22.

“RM20 lagi digunakan untuk tambang ke PERTIS,” katanya.

Bimbang kelas mengaji terganggu, Mohd Syafful tekad menyewa rumah dengan seorang rakan senasib dengannya sejak sebulan lalu berhampiran dengan rumah PERTIS.

Menurutnya, dia hanya pulang ke kampungnya setiap hujung minggu sambil turut mengurut bagi menampung sewa dan perbelanjaan lain.

“Lega tidak lagi kelam-kabut untuk mengikuti kelas mengaji sejak menyewa rumah serta dapat memberi tumpuan yang lebih,” katanya.

Rakannya, Abdul Latif Jusoh, 36, dari Kampung Pasir Tawar, Jabi, Besut, berkata, dia juga menempuhi keadaan sama seperti Mohd Syafful bagi mendalami al-Quran.

“Saya pernah mengaji al-Quran di PERTIS, tetapi terpaksa berhenti sebelum menyambung pembelajaran selepas seorang individu yang berhati mulia memberi saya tumpang di rumah sewanya dengan hanya membayar bil elektrik dan air,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2017 @ 6:09 AM