PELBAGAI kosmetik yang dirampas dalam serbuan berasingan di Kelantan.
PELBAGAI kosmetik yang dirampas dalam serbuan berasingan di Kelantan.
 SEBAHAGIAN ubat dan kosmetik yang dirampas Cawangan Penguatkuasa Farmasi Terengganu.
SEBAHAGIAN ubat dan kosmetik yang dirampas Cawangan Penguatkuasa Farmasi Terengganu.
Fairul Asmaini Mohd Pilus dan Siti Nor Hidayatidayu Razali


Tumpat: Selain produk kecantikan tempatan yang mendapat pilihan golongan hawa, produk keluaran Thailand turut bersaing merebut tempat di hati pengguna.

Konsep produk yang menunjukkan kesan cepat dan berharga murah saling tiada beza dengan produk dihasilkan peniaga Che Siti Wan Kembang, menjadikan ia mudah dijual di pasar dan pusat komersial.

Faktor dekat dengan sempadan juga memudahkan produk asing ini masuk secara tidak sah.

Tinjauan Harian Metro ke beberapa pasar termasuk Pasar Besar Wakaf Bharu, di sini mendapati produk kecantikan Siam terutama memutihkan wajah banyak dijual kerana harganya serendah RM3 dan perubahan dapat disaksikan dalam tempoh singkat.

Selain produk pemutihan, ada juga sabun pencuci wajah dan penyegar muka selain beberapa krim kecantikan.

Seorang penjual produk itu dikenali Natasha, 30, berkata, dia memperoleh bekalan daripada pemborong yang menghantar ke kedainya, di sini.

Katanya, bagi satu produk, dia memperoleh keuntungan antara RM5 hingga RM10 kerana ia dibeli secara borong serendah RM1.

“Ramai pengguna wanita yang menggemari produk kecantikan ini kerana ia murah berbanding produk keluaran tempatan.

“Hasilnya juga cepat kerana kebanyakan wanita masa kini mahu menjadi cantik dengan pantas tanpa memikirkan risiko,” katanya ketika ditemui di kedainya.

Menurutnya, maklum balas diperoleh daripada pelanggan juga memberangsangkan dan rata-rata berpuas hati dengan produk digunakan.

Pengguna, Amira, 25, berkata, meskipun sedar risiko jika menggunakan produk kecantikan mengandungi bahan kimia terlarang, dia tidak kisah dan tetap berpuas hati kerana kesannya segera.

Dia yang aktif menggunakan krim pemutihan dari Thailand mengakui wajahnya putih dalam tempoh seminggu.

“Saya lebih suka guna produk Siam daripada tempatan kerana harganya murah. Sejak lima tahun lalu saya sudah mencuba pelbagai jenis produk.

“Hasilnya sangat memuaskan. Produk pemutihan memang selalu jadi rebutan kerana wanita pasti mahu kelihatan cantik dan gebu seperti kulit bayi,” katanya.

Amira mengakui ada membaca maklumat di Internet mengenai kemungkinan wujud bahan kimia bahaya seperti Hydroquinone dalam produk kecantikan dari Siam, namun setakat ini tidak merasai apa-apa.

“Sudah bertahun saya pakai produk ini, tak ada apa-apa pun, malah harganya lebih murah. Itu yang penting.

“Kalau satu set produk Thailand dijual RM15 ke RM20, produk tempatan letak RM50 satu set, sedangkan fungsinya hampir sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2017 @ 5:16 AM