AHLI S4S mengadakan demonstrasi aman menuntut kenaikan gaji dan membantah kenaikan harga minyak di Bulatan Stutong, Kuching.
AHLI S4S mengadakan demonstrasi aman menuntut kenaikan gaji dan membantah kenaikan harga minyak di Bulatan Stutong, Kuching.

Kuching: Pergerakan Sarawak for Sarawakians (S4S) tidak akan mencampuri Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Datu berikutan fokus pergerakan mereka tidak berpaksikan politik.

Sekalipun S4S sebelum ini mengadakan demonstrasi aman menuntut kenaikan gaji bagi pekerja Sarawak selain membantah kenaikan harga minyak namun pergerakan itu menafikan ia akan turut diadakan ketika PRK DUN Tanjong Datu berlangsung.

Jurucakap S4S, KC Tan berkata, sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), S4S tidak akan mencampuri perihal politik kerana agenda perjuangan mereka adalah menuntut kepentingan dan hak rakyat.

“Kami tidak akan mengambil kesempatan dengan mengadakan perhimpunan atau demonstrasi aman di Tanjong Datu kerana itu cerita lain.

“Pergerakan kami mengadakan perhimpunan dan demonstrasi bukan untuk tujuan berpolitik tetapi lebih kepada mendidik rakyat Sarawak mengenai hak dan kepentingan mereka untuk disuarakan kepada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersama 40 ahli S4S mengadakan demonstrasi aman selama sejam di Bulatan Stutong, kelmarin.

Mengenai demonstrasi yang dianjurkan S4S, Tan berkata, mereka mahu menunjukkan kepada orang ramai bahawa menuntut kenaikan gaji membabitkan pekerja di Sarawak selain membantah kenaikan harga minyak berterusan adalah hak mereka sebagai rakyat di negeri ini.

“Rakyat Sarawak berhak menyuarakan rungutan mereka kepada pemimpin di negeri ini, ia amalan demokrasi yang turut dilakukan di negara lain.

“Bagaimanapun, bagi S4S, kami sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan negara dan akan memaklumkan polis terlebih dulu mengenai sebarang perhimpunan atau demonstrasi aman yang akan diadakan serta memastikannya tidak menyalahi peraturan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2017 @ 7:47 AM