SHAFIEN (kiri) menunjukkan barangan yang dirampas.
SHAFIEN (kiri) menunjukkan barangan yang dirampas.

Shah Alam: Dua penjenayah sempat berhenti di kedai makan untuk membeli makanan tidak jauh dari rumah yang baru dipecah masuk di Seksyen 7, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.45 pagi, kedua-dua lelaki berusia 20-an itu baru melakukan jenayah pecah rumah di satu kawasan flat.

Bagaimanapun, tindakan mereka berhenti membeli makanan mengundang rasa curiga kepada dua anggota polis yang meronda.

Melihatkan kedua-dua lelaki itu seperti tidak tentu arah, anggota polis dari Balai Polis Seksyen 6 mendekati mereka.

Ketika itu seorang daripadanya berada di dalam kereta manakala seorang lagi sedang memesan makanan.

Melihat anggota polis memeriksa rakannya, lelaki yang membeli makanan melarikan diri manakala rakannya yang juga pemandu kereta Proton Wira itu ditahan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, pemeriksaan dalam kereta suspek menemui peralatan pecah rumah dan sebelum itu mereka baru melakukan jenayah di sebuah rumah flat tidak jauh dari lokasi ditahan.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek bersama rakannya aktif melakukan jenayah di Seksyen 7 sejak tiga bulan lalu dan pemeriksaan di rumah suspek turut menemui pelbagai barang hasil kegiatan itu.

“Dengan penahanan mereka ini kami percaya dapat menyelesaikan lima kes pecah rumah di kawasan Seksyen 7.

“Ketika ini kami masih mengesan rakan suspek yang melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2017 @ 7:43 AM