Bukit Mertajam: “Kasihan bayi itu, tergamak depa (mereka) buang nyawa manusia macam sampah.” Itu kata Mahmud Manaf, 80, lelaki warga emas yang menjumpai mayat seorang bayi lelaki baru dilahirkan di dalam tong sampah di Apartmen Permata, Bandar Perda, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi, Mahmud yang juga pesara kerajaan berkata, dia mencari barangan kitar semula di tong sampah berkenaan sebelum ternampak satu bungkusan plastik hitam di hujung tong sampah itu.

Katanya, sebaik mengangkat plastik itu, dia terasa seperti ada objek berat di dalamnya dan membukanya untuk diperiksa.

“Saya tidak terhidu bau busuk ketika membuka plastik berkenaan dan melihat ada balutan kain batik di dalamnya.

“Ketika saya meraba bahagian bawah kain berkenaan, saya dapat merasakan bentuk badan bayi sebelum memberitahu jiran,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Mahmud berkata, sejurus selepas itu dia dan seorang lagi rakannya memeriksa kandungan balutan berkenaan sebelum melihat mayat seorang bayi cukup sifat dan masih bertali pusat di dalamnya.

Beliau berkata, ada kesan darah pada balutan kain batik berkenaan dan dipercayai bayi itu baru dibuang ke dalam tong sampah berkenaan.

Menurutnya, sejak dia mula mengutip barang terpakai untuk dijual di tong sampah, ini kali pertama dia berdepan kejadian seperti itu dan penemuan itu mengejutkannya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pihaknya yang membuat pemeriksaan ke atas mayat berkenaan mendapati bayi itu meninggal dunia sebelum menghubungi petugas kesihatan Hospital Bukit Mertajam (HBM).

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat kejadian dan mendapatkan keterangan daripada saksi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2017 @ 6:42 AM
PENDUDUK, Roshitah Othman  menunjukkan tong sampah tempat penemuan mayat bayi di Apartmen Permata, Bandar Perda Bukit Mertajam, semalam.
PENDUDUK, Roshitah Othman menunjukkan tong sampah tempat penemuan mayat bayi di Apartmen Permata, Bandar Perda Bukit Mertajam, semalam.