ANGGOTA penguat kuasa KPDNKK Selangor membuat pemeriksaan di  kedai runcit di Kampung Melayu Subang, Shah Alam, semalam.
ANGGOTA penguat kuasa KPDNKK Selangor membuat pemeriksaan di kedai runcit di Kampung Melayu Subang, Shah Alam, semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin


Shah Alam: Tindakan segelintir peniaga tidak meletakkan tanda harga pada barangan jualan mengundang padah apabila barangan mereka dirampas dalam pemeriksaan rutin dijalankan pegawai dan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor, semalam.

Dalam pemeriksaan kira-kira jam 12 tengah hari itu, sebanyak 73 premis diperiksa termasuk di Plaza Alam Sentral, Seksyen 14 dan Kampung Melayu Subang di sini, yang dijalankan secara serentak.

Ketua Penguat kuasa KPDNKK Selangor Abdul Rosik Yakub berkata, hasil pemeriksaan di Kampung Melayu Subang, pihaknya mendapati terdapat premis yang tidak mematuhi arahan pihak berkuasa apabila tidak mempamerkan tanda harga pada barangan jualan.

“Pemeriksaan lanjut terhadap premis berkenaan mendapati, barangan jualan diletakkan di rak pameran tanpa sebarang tanda harga menyebabkan ia dirampas kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Antara barangan jualan yang dirampas ialah air minuman, telefon bimbit dan jam tangan bernilai RM530,” katanya.

Abdul Rosik berkata, pihaknya memandang serius kesalahan dilakukan peniaga yang tidak meletakkan tanda harga pada barangan jualan.

“Tindakan peniaga tidak meletakkan tanda harga akan menyebabkan pengguna keliru dengan harga sebenar.

“Justeru, kami akan menjalankan pemeriksaan rutin secara konsisten sebagai langkah memastikan peniaga mematuhi arahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2017 @ 10:09 AM