PIH PD Negeri Sembilan menjalankan usaha penternakan dan pembiakan kuda laut sejak 2013.
PIH PD Negeri Sembilan menjalankan usaha penternakan dan pembiakan kuda laut sejak 2013.
 USAHA giat membiak kuda laut dilaksanakan PIH PD.
USAHA giat membiak kuda laut dilaksanakan PIH PD.
  KAKITANGAN PIH PD melihat spesies kuda laut dibiakkan.
KAKITANGAN PIH PD melihat spesies kuda laut dibiakkan.
Mohd Sabran Md Sani

Johor Bahru: Kesukaran mendapatkan induk di habitat asal mengakibatkan usaha konservasi terhadap spesies kuda laut yang dilaksanakan Pusat Ikan Hiasan Port Dickson (PIH PD), Negeri Sembilan termasuk aktiviti penternakan dan pembiakannya sejak 2013 berdepan cabaran.

Perkara itu diakui Ketua Cawangan Pengurusan Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan Negeri Sembilan Nawar Abd Karim yang terbabit dalam melaksanakan kajian dan persampelan terhadap kuda laut dan kini semakin sukar ditemui terutamanya di perairan Semenanjung.

Projek membiak spesies dilaksanakan PIH PD sudah menunjukkan perkembangan positif terutama tiga spesies dari induk Hippocampus kuda, Hippocampus comes dan Hippocampus barbouri yang diperoleh dari perairan Semenanjung.

“Memang kajian yang kami lakukan dalam membiak ketiga-tiga kuda laut ini sangat berjaya bersandarkan kepada data dikumpulkan.

“Jurnal menunjukkan induk kuda laut mampu melahirkan 1,000 ekor bergantung spesies dan saiz induk, namun pada peringkat kelahiran fasa kritikal berlaku ketika mula dilahirkan hingga tiga bulan,” katanya.

Beliau yang juga Ketua PIH PD berkata, tempoh tiga bulan sangat kritikal kerana ia mempengaruhi kehidupan anak kuda laut.

“Dalam tempoh itu, kita perlu mengenal pasti pemakanan sesuai, apatah lagi dengan saiz mulut yang kecil hidupan berkenaan hanya memilih zooplankton dikenali artemia serta makanan hidupan lain bersesuaian.

“Kematian dan kelahiran pramatang antara cabaran membesarkan spesies ini menyebabkan kadar peratusan hidup rendah meskipun kadar kelahiran tinggi,” katanya.

Katanya, banyak faktor mempengaruhi jangka hayat haiwan itu dan mengambil kira tekanan air, suhu dan pencahayaan di akuarium supaya menyamai habitat asal.

Dalam usaha itu, katanya, pihaknya sentiasa berhubung dengan Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor (J-Biotech) bagi berkongsi maklumat berkaitan pembiakan serta kaedah mendapatkan induk dilakukan dalam projek berkenaan.

Ditanya mengenai ketiga-tiga spesies itu, katanya, Hippocampus barbouri mudah dibiakkan berikutan tahan penyakit.

Katanya, pasukannya disertai tiga pembantu penyelidik dan disokong Bahagian Pembangunan Akuakultur, Jabatan Perikanan, Putrajaya melaksanakan penyelidikan pembiakan kuda laut dengan rutin harian dilakukan membabitkan rawatan dan makanan.

“Pasukan kami akan memberikan rawatan secepat mungkin kepada kuda laut berpenyakit dan mengawal kualiti pemakanan,” katanya.

Mengulas mengenai perkara itu katanya, terdapat empat faktor utama kepupusan kuda laut membabitkan gangguan di habitat asal, pengambilan untuk hiasan, perubatan tradisional dan dijadikan bahan cenderahati.

“Kadar pencemaran dan juga tekanan eksploitasi hidupan marin yang tinggi menjadi faktor utama kurangnya kuda laut di perairan Semenanjung termasuk aktiviti pembangunan dan pencemaran.

“Ada juga menjadikan hidupan marin ini sebagai hiasan akuarium dan trend ini semakin meningkat hingga jumlahnya berkurangan.

“Ia dicampur dengan ubatan-ubatan lain untuk kesihatan dalaman, malah ada dijual dalam bentuk kering untuk dijadikan sebagai produk cenderamata,” katanya.

Nawar yang mengetuai projek berkenaan berkata, usaha penyelidikan terhadap kuda laut dilaksanakan PIH PD berikutan fokus utamanya membabitkan ikan hiasan marin.

“Pada masa sama, kami melihat salah satu spesies hidupan marin yang semakin terancam adalah kuda laut.

“Dari situ kami berusaha untuk mendapatkan induk lagi untuk tujuan pembiakan dan menambah bilangannya dari semasa ke semasa,” katanya.

Menyentuh mengenai spesies kuda laut katanya, perairan Johor antara lokasi dikenal pasti terdapat spesies kuda laut terutama di Pasir Gudang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2017 @ 5:32 AM