Bakri (kanan) ditemani Pengarah Perikanan Negeri Sembilan, Halimi Abu Hanip (dua dari kanan) melepaskan penyu karah dan agar pada program pemuliharaan biodiversiti marin Port Dickson di pantai Tanjung Biru. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Bakri (kanan) ditemani Pengarah Perikanan Negeri Sembilan, Halimi Abu Hanip (dua dari kanan) melepaskan penyu karah dan agar pada program pemuliharaan biodiversiti marin Port Dickson di pantai Tanjung Biru. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Persisiran pantai Port Dickson kini menjadi lokasi baru aktiviti penyu bertelur sekaligus menjadi tarikan terbaru pelancong di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan, Datuk Ir Bakri Sawir berkata, Tanjung Tuan di sini, unik berikutan ia satu-satunya kawasan yang terdapat banyak batu karang berhampiran pantai dan sesuai menjadi habitat hidupan marin.

"Kerana itu kita mengadakan program Pemuliharaan Biodiversiti Marin di perairan ini dan melepaskan penyu karah dan anak ikan jenis inggu (jenis common dan tomato) yang berjaya ditetaskan di Pusat Ikan Hiasan, Port Dickson.

"Berdasarkan maklumat penyelam, dasar laut Tanjung Tuan tercemar dengan lambakan 'pukat hantu' yang memenuhi di sekeliling terumbu karang, sekaligus memerangkap dan membunuh hidupan laut yang menjadikan terumbu karang sebagai tempat perlindungan dan pembiakan," katanya selepas Program Pemuliharaan Biodiversiti Marin di Pantai Tanjung Biru di sini, semalam.

Katanya, lambakan pukat itu berkemungkinan boleh mendatangkan risiko kematian kepada penyu yang mungkin merayau-rayau di perairan Tanjung Tuan ini.

Ujarnya lagi kawasan perairan sejauh satu batu nautika dari pantai Tanjung Tuan sudah digazetkan adalah kawasan larangan perikanan yang diwartakan di bawah Peraturan Perikanan (kawasan larangan) 1994.

"Ini bermakna sebarang aktiviti penangkapan ikan di perairan ini seperti memukat, membubu, merawai, memancing, mengambil batu karang, mengutip siput atau mengambil rumpai laut dan seumpamanya adalah tidak dibenarkan.

"Sebarang kesalahan ini boleh dikompaun minimum RM500 atau denda maksimum sebanyak RM20,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 25(b) Akta Perikanan 1985," katanya.

Dalam memastikan kesuburan terumbu karang di kawasan larangan perikanan di Tanjung Tuan di sini, seramai 30 penyelam sukarelawan dan 20 penyelam daripada Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson yang terbabit sama membersihkan dasar laut di Tanjung Tuan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 4:55 PM