PERLU diletakkan jauh dari cahaya matahari.
PERLU diletakkan jauh dari cahaya matahari.
Aniza Zainudin

ALIRAN air mengalunkan irama ketenangan, gerak tari ikan yang pelbagai warna menzahirkan keharmonian ditambah pula ‘keganasan’ fizikal terumbu karang sememangnya tidak pernah gagal menghadiah­kan rasa puas hati pemilik akuarium ikan hiasan marin.

Segelintir menganggap penjagaan ikan hiasan di rumah adalah satu hobi yang juga berperanan sebagai binatang peliharaan paling mudah dijaga, namun sebenarnya elemen air dan fauna lautan ini berupaya mendominasi dekorasi kediaman peribadi.

Sering dianggap mewah, eksklusif dan elegan, akuarium ikan hiasan marin sememangnya memiliki tarikan serta keindahan tersendiri sekiranya dijadikan satu elemen tatahias bagi satu-satu ruang, terutama di ruang tamu.

Sesiapa saja pasti akan tertarik untuk mendekati akuarium ikan hiasan marin sekiranya penjagaan ikan, kualiti air dan akuarium berada pada tahap sempurna.

Berkongsi maklumat berkenaan ikan hiasan marin, Ketua Pusat, Pusat Ikan Hiasan Port Dickson, Nawar A Karim berkata, ikan hiasan air masin boleh dijadikan hobi dan dipamerkan di rumah sebagai hiasan dalaman.

“Secara peribadi, saya berpendapat trend ikan hiasan marin sebagai simbol dekorasi dalam kalangan rakyat Malaysia semakin meningkat.

“Boleh dikatakan hampir 30 hingga 40 peratus pemilik kediaman mula menjadikan akuarium ikan hiasan marin sebagai perhiasan di rumah masing-masing.

“Ramai mengakui mereka tidak tahu cara menjaga ikan hiasan marin dan sistem akuarium digunakan,” katanya ketika ditemui di Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Jelas Nawar, kos pembelian, penyelenggaraan dan penjagaan akuarium ikan hiasan marin sememang­nya agak tinggi.

Oleh itu, mereka yang berminat untuk memiliki akuarium ini seharusnya mempunyai sedikit ilmu demi memastikan hasil diperoleh memuaskan hati malah tidak merugikan wang yang dibelanjakan.

Menyenaraikan ikan ‘clownfish’ dan ‘blue damselfish’ antara pilihan popular, Nawar mengakui akuarium ikan hiasan marin lebih menarik kerana air laut lebih jernih berbanding air tawar.

“Selain itu, spesies ikan itu sendiri berasal dari dasar laut dan sukar dijumpai, unik, cantik dan berseri bersesuaian sebagai terapi minda di rumah.

“Akuarium ikan hiasan marin juga lebih mudah dijaga kerana makanannya tidak akan merosakkan kualiti air, tidak seperti makanan ikan air tawar.

“Faktor ini membuat­kan tahap kejernihan air laut lebih lama, cuma kita perlu menjaga kotoran yang melekat pada cermin akuarium dengan menggunakan ‘duster’ magnetik tanpa perlu menukar air itu,” katanya

Berkongsi kaedah asas mengendalikan akuarium ikan hiasan marin, Nawar berkata penggemar mempunyai dua pilihan air sama ada menggunakan air laut yang didapati di tepi pantai ataupun garam sintetik.

Garam sintetik boleh didapati di kedai ikan hiasan marin akan dibancuh bersama air paip dengan sukatan tertentu.

Katanya, kadar kemasinan air dihadkan dalam lingkungan 28 hingga 32 ppt (ukuran kemasinan) yang sememangnya me­ngandungi nutrien diperlukan ikan marin.

Kekerapan penukaran air garam sintetik ini hanya berlaku setahun sekali namun pada setiap bulan, pemilik akuarium perlu menambah kuantiti air paip yang dirawat (anti klorin) ke dalam akuarium mereka.

“Sekiranya berlaku kes kematian ikan yang ba­nyak, saya menyarankan penukaran air secara total dan perlu membancuh air campuran garam sintetik semula.

“Kes kematian ikan ini berlaku apabila kandungan gas ammonia tinggi dalam akuarium terhasil daripada najis ikan.

“Najis ikan yang mendap membuatkan gas ammonia tinggi dalam tempoh setahun, keadaan ini mendorong kepada gangguan kualiti air,” katanya.

Menitipkan beberapa tip, Nawar menasihat­kan pemilik akuarium ikan hiasan marin perlu meletakkan akuarium di kawasan yang jauh daripada tempat panas dan laluan utama.

Ini kerana ikan hiasan marin berasal dari dasar laut dan suhu air sangat sejuk, jadi kedudukannya perlu jauh daripada sinar mentari.

Beliau juga menyifat­kan akuarium bersaiz empat kaki kali dua antara pilihan tepat bagi mereka yang berhasrat memiliki akuarium ikan hiasan marin namun keluasan rumah bersaiz sederhana.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 5:00 AM