Sheikh Mustazim Sheikh Johari, 22, menunjukkan  ikan keli yang dijual dengan harga RM7 sekilogram  di Pasar Besar Kuantan.
Sheikh Mustazim Sheikh Johari, 22, menunjukkan ikan keli yang dijual dengan harga RM7 sekilogram di Pasar Besar Kuantan.

Kuantan: Bukan saja ikan laut, malah harga ikan air tawar turut menunjukkan kenaikan ketara berikutan kekurangan bekalan ketika musim tengkujuh melanda pantai timur Semenanjung ketika ini.

Tinjauan di Pasar Besar Kuantan, di sini, semalam mendapati harga ikan keli naik antara RM1 hingga RM2 iaitu RM7 sekilogram berbanding RM5 hingga RM6 manakala ikan patin kolam RM6 sekilogram berbanding RM5 sebelum ini.

Peniaga ikan Nik Ahmadi Said, 31, berkata, kenaikan harga ikan sungai atau air tawar tidak dapat dielak berikutan pembekal menaikkan harga kerana permintaan tinggi terhadap ikan berkenaan.

Katanya, kenaikan itu juga disebabkan pengguna beralih kepada ikan sungai selepas berlaku kenaikan mendadak harga ikan laut sejak minggu lalu.

“Bagaimanapun kenaikan harga ikan sungai tidak begitu ketara berbanding ikan laut yang naik sehingga RM7 dan RM8 sekilogram,” katanya.

Sementara itu, suri rumah dari Bukit Setongkol, di sini, Kamsiah Muhamad Sani, 51, berkata, dia memilih ikan sungai sebagai menu harian selepas kenaikan mendadak harga ikan laut seperti tenggiri, kembung dan selar.

Menurutnya, walaupun berlaku kenaikan harga ikan sungai, ia tidak begitu ketara dan masih lagi boleh membelinya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2017 @ 5:25 AM