Rastam menjual ikan laga dengan harga antara RM10 dan RM30 seekor.
Rastam menjual ikan laga dengan harga antara RM10 dan RM30 seekor.
Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Kehilangan 3,000 ikan pelbagai jenis bernilai lebih RM10,000 ketika banjir besar pada 2014 tidak mematahkan semangat Rastam Rifin, 45, untuk kembali bangkit memulakan semula projek ternakan ikan laga atau betta.

Perusahaan dilakukan di perumahan Sungai Isap Perdana, semakin maju dan berkembang hingga dapat mengumpul lebih 6,000 ikan membabitkan spesies Plakat, Halfmoon dan Crown Tail yang dijual dengan harga antara RM10 dan RM30 seekor.

Rastam berkata, bencana banjir yang melanda daerah ini dua tahun lalu turut menenggelamkan rumahnya yang mana hampir memusnahkan projek ternakan ikan laga yang diusahakan pada 2009 apabila kehilangan berpuluh ekor induk berkualiti.

Menurutnya, beberapa bulan selepas tragedi itu, dia terpaksa membeli semula induk yang musnah daripada kanak-kanak yang berjaya menangkap ikan berkenaan di dalam parit dan kawasan padang permainan.

“Kerugian besar yang dialami tidak mematahkan semangat saya untuk memulakan semula ternakan dengan lebih bersungguh-sungguh walaupun terpaksa mengeluarkan modal besar bagi mendapatkan induk berkualiti tempatan dan luar negara.

“Saya terpaksa membeli beberapa ekor induk dari Thailand dan Indonesia dengan harga antara RM80 dan RM400 seekor menggunakan perkhidmatan pos laju. Bagi mendapatkan anak yang menarik dari segi warna dan bentuk, induk berkualiti diperlukan.

“Untuk menjimatkan kos, saya juga mendapatkan induk tempatan dari Kelantan, Terengganu, Johor dan Perak yang tidak kurang menarik dan berkualiti,” katanya ketika ditemui.

Rastam berkata, bagi memastikan ikan laga tidak mati, kualiti air perlu diberi perhatian serius dengan menjaga penggunaan air dan menggunakan proses tapisan sepenuhnya.

Dia berkata, kaedah penggunaan garam kasar dan daun pokok ketapang juga dilakukan bagi menurunkan kadar peratusan asid di dalam air.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2017 @ 6:09 AM