HAMIZAN menunjukkan pelbagai jenis ikan laga dijualnya di Pekan Sehari di Pekan, hari ini. FOTO Mohd Rafi Mamat.
HAMIZAN menunjukkan pelbagai jenis ikan laga dijualnya di Pekan Sehari di Pekan, hari ini. FOTO Mohd Rafi Mamat.
Mohd Rafi Mamat


KEJADIAN 100 ikan laga pelbagai jenis mati setahun lalu, hampir meragut semangat Hamizan Mohamad Arshad meneruskan kerjaya sebagai peniaga serta pengeluar ikan berkenaan.

Hamizan, 31, berkata, cuaca panas menjadi punca utama ikan laga yang ditempatkan dalam kereta mati secara serentak hingga menyebabkan dia menanggung kerugian lebih RM500.

“Bermula daripada hanya sebagai hobi, namun kini saya menjadikan aktiviti menjual dan membiak ikan laga sebagai sumber pendapatan tetap selepas meninggalkan pekerjaan di sektor swasta dua tahun lalu.

“Saya kini memiliki lebih 15 jenis ikan laga atau betta baka tempatan dan import seperti plakat, crowntail, halfmoon, double tail, veiltail, giant, elephant ear dan superdelta,” katanya ketika ditemui di Pekan, hari ini.

Hamizan berkata, dia turut memiliki lebih 18 jenis ikan gopi tempatan dan import seperti merak, karena, dragon, cobra, metalik, red dragon dan blue mascow albino yang menjadi ikan hiasan bersaiz kecil dan unik.

Menurutnya, dia menjual ikan laga setiap hari membabitkan lebih 15 pasar malam dan pekan sehari di daerah ini dan Kuantan, setiap hari antara 100 hingga 150 ikan dijual dengan harga RM5 hingga RM15 seekor.

“Bagi menghasilkan ikan laga berkualiti, saya mendapatkan baka di import dari Thailand iaitu induk dibeli dengan harga RM200 hingga RM300 seekor membabitkan beberapa jenis.

“Saya mempunyai pusat pembiakan di Segamat, Johor, dan usaha meluaskan lagi pembiakan ikan kini dilakukan selepas mendapat tunjuk ajar daripada Jabatan Perikanan Terengganu yang menganjurkan kursus,” katanya.

Beliau berkata, potensi industri ikan laga dan gopi kini semakin cerah apabila semakin ramai masyarakat negara ini meminati hobi memiliki ikan sebagai ikan hiasan.

“Harga ikan laga yang berkualiti tinggi mampu mencapai antara RM1,000 hingga RM2,000, selain untuk hiasan ia turut layak untuk menyertai pertandingan dengan menawarkan hadiah wang tunai.

“Saya berhasrat mengembangkan industri ikan laga dan gopi, lebih banyak induk berkualiti diterima tahun depan yang mampu menghasilkan banyak benih.

“Saya turut mengajar mereka yang berminat memiliki ikan laga dan gopi, cara menjaga, kualiti air dan makanan sesuai bagi mengelak ikan mati,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 11:46 AM