Syahrir Azfar (tengah) bersama rakannya, Amirul Asraf (kiri) dan Mohamed Mu'az sebelum berlepas ke Aleppo.
Syahrir Azfar (tengah) bersama rakannya, Amirul Asraf (kiri) dan Mohamed Mu'az sebelum berlepas ke Aleppo.
Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Tiga anak muda yang bernaung di bawah Malaysian Life Line for Syria (MLLFS) berlepas ke Syria petang kelmarin bagi menyempurnakan misi bantuan kecemasan Aleppo dan bantuan kemanusiaan musim sejuk untuk rakyat Syria.

Ketua Pegawai Eksekutif MLLFS Syahrir Azfar Saleh dan dua yang lain iaitu Amirul Asraf Mat Arif dan Mohamed Mu’az Mohamed Ruslan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dijangka tiba di sempadan Turki-Syria petang semalam.

Syahrir ketika dihubungi semalam berkata, misi musim sejuk itu kali keempat dilaksanakan sejak ia dimulakan pada 2013.

Menurutnya, misi kali ini membawa bantuan berjumlah RM500,000 hasil sumbangan rakyat Malaysia yang prihatin.

“Misi ini fasa pertama bagi bantuan kecemasan Aleppo pada musim sejuk diikuti misi fasa kedua pada akhir Januari 2017.

“Pada misi ini, kami menumpukan kepada bantuan kecemasan seperti khemah dan kit musim sejuk termasuk makanan serta bantuan perubatan kepada penduduk yang dipaksa meninggalkan Aleppo selepas pihak tentera rejim Syria menguasai semula bandar itu,” katanya.

Katanya, MLLFS juga merangka pelan tindakan selanjutnya bagi memastikan projek bantuan tertangguh sejak empat tahun lalu dapat diteruskan di kawasan penempatan lain.

Syahrir berkata, beberapa projek tertangguh termasuk bantuan rakyat Malaysia di Aleppo seperti 11 sekolah dan madrasah Jeelul Quran, bekalan air bersih melalui tangki air bergerak dan perkhidmatan kesihatan melalui hospital lapangan al-Hayat.

Menurutnya, sehingga hari ini, jumlah bantuan yang disempurnakan MLLFS melalui sumbangan rakyat Malaysia sebanyak RM6.5 juta membabitkan bantuan pendidikan, kesihatan, bekalan air bersih dan kilang roti.

“Bantuan lain termasuk berbuka puasa pada Ramadan, bantuan musim sejuk dan sembelihan qurban pada Aidiladha.

“MLLFS juga berkhidmat di lapangan Syria seperti Aleppo dan pinggir bandarnya, Idlib dan Hama sejak awal 2013 dan sehingga kini membantu sekurang-kurangnya 50,000 rakyat Syria,” katanya.

Pihaknya mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang prihatin dan menyeru mereka terus menyumbang kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit dengan projek kemanusiaan untuk Syria memandangkan 13.5 juta rakyatnya memerlukan bantuan kecemasan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2017 @ 5:23 AM