MUHAMMAD Hazreel kini  mampu berdiri dan bergerak.
MUHAMMAD Hazreel kini mampu berdiri dan bergerak.
Mary Victoria Dass

Pasir Gudang: “Mungkin berkat kunjungan Sultan Johor dan Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang memegang tubuh Muhammad Hazreel berulang kali memberi semangat kepadanya untuk belajar berjalan,” kata Noor Halimaton Hashim, 35, ibu kepada peminat cilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang juga pesakit kulit genetik Epidermolysis Bullosa (EB), Muhammad Hazreel Mikhail Hizar, 5.

Menurutnya, anak bongsu daripada tiga beradik itu sudah lama memasang niat untuk pandai berjalan kerana mahu memenuhi impian menyaksikan perlawanan bola sepak di stadium dan bersekolah pada masa depan.

Katanya, dia sekeluarga bersyukur dengan perubahan terkini Muhammad Hazreel yang mampu berdiri lebih lama dan berjalan secara perlahan.

Katanya, ketika kunjungan kerabat Diraja Johor ke rumahnya di Bandar Seri Alam, di sini, pada 4 Oktober lalu, TMJ Tunku Ismail Sultan Ibrahim beberapa kali memegang tubuh anaknya.

“TMJ meminta Muhammad Hazreel belajar berjalan bagi membolehkannya memenuhi kehendak ke stadium bagi menyaksikan perlawanan bola sepak.

“Dalam tempoh dua bulan, Muhammad Hazreel menunjukkan kesungguhan berjalan termasuk bergerak menggunakan peralatan khas ‘Child Rolator Foldable’.

“Malah, dia lebih ceria dan video yang dirakam ketika kunjungan Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar dan Tunku Ismail ditontonnya setiap hari,” katanya.

Noor Halimaton berkata, buat masa ini, Muhammad Hazreel masih menjalani rawatan susulan di Hospital Sultanah Aminah, di sini, dan mengambil ubat dari tabib Cina selain mengamalkan makanan tambahan.

Katanya, mereka sekeluarga tidak menafikan doa orang ramai buat Muhammad Hazreel selepas kisahnya disiarkan Harian Metro pada 25 Ogos lalu memberi semangat.

“Dia memang berminat untuk ke sekolah dan boleh menghafal huruf A hingga Z selain mengira.

“Keluarga mencari sekolah tadika sesuai buatnya memandangkan kulitnya tidak boleh terdedah kepada panas kerana kesan luka,” katanya.

“Kami sentiasa berusaha untuk memenuhi semua impian Muhammad Hazreel termasuk ke stadium dan sekolah, malah amat berharap ia menjadi kenyataan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Pada 5 Oktober lalu, Harian Metro memaparkan kisah keluarga Muhammad Hazreel yang bersyukur dapat memenuhi impian kanak-kanak itu bertemu Tunku Ismail.

Keluarga itu turut terharu apabila Sultan Ibrahim berkenan mengunjungi Muhammad Hazreel dalam lawatan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Disember 2016 @ 6:22 AM