GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Ibu bapa dalam kalangan B40 yang menghantar anak ke Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) di negeri ini akan menerima subsidi bulanan RM50 bagi menampung yuran premis asuhan itu.

Insentif itu bagi membantu ibu bapa mengurangkan kos bayaran yuran selain menggalakkan lebih ramai wanita keluar bekerja bagi menambah pendapatan keluarga.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam Chong Eng berkata, RM501,200 diperuntukkan menerusi Skim Bantuan Asuhan Kanak-kanak berkenaan.

Katanya, dianggarkan 707 kanak-kanak daripada keluarga B40 akan menerima insentif itu.

"Insentif RM1,000 secara sekali bayar akan diberi kepada 77 pengusaha Taska yang mengenakan yuran bulanan maksimum RM500.

"Peruntukkan itu akan disalurkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pulau Pinang sebelum diagih kepada ibu bapa kanak-kanak menerusi pengusaha Taska," katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) hari ini.

Mengulas lanjut, Chong Eng berkata, borang permohonan akan diedar esok hingga 29 Januari ini.

Katanya, bagi melancarkan proses permohonan skim itu, pengurusan Taska perlu mengemukakan permohonan mengikut syarat yang tertera pada borang.

"Sekiranya lebih banyak Taska yang mengenakan yuran berpatutan dapat dibuka, maka kita boleh jangkakan lebih ramai golongan ibu dapat keluar bekerja.

"Dalam situasi dunia hari ini, kebanyakan ibu bapa kehilangan fokus kepada penjagaan awal kanak-kanak kerana terpaksa mencari nafkah bagi menampung kelangsungan hidup," katanya.

Dalam satu kajian yang dilaksanakan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), yuran tinggi antara faktor penyebab golongan ibu tidak menghantar anak ke Taska atau pusat asuhan.

Ia menyebabkan ibu mengambil keputusan berhenti kerja bagi menguruskan keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2021 @ 3:36 PM