ANGGOTA polis membawa keluar semua pesalah dari Kompleks Mahkamah Kota Bharu selepas pihak mahkamah mendakwa menerima panggilan ancaman bom.
ANGGOTA polis membawa keluar semua pesalah dari Kompleks Mahkamah Kota Bharu selepas pihak mahkamah mendakwa menerima panggilan ancaman bom.
Muhamaad Razis & Rosliza Mohamed


Kota Bharu: “Kami mahu letupkan mahkamah dan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa, Kota Bharu,” kata individu yang tidak dikenali ketika menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.40 pagi itu, lelaki berkenaan berkata, tiga lelaki Melayu dan seorang lelaki Cina akan datang dengan menaiki van putih untuk meletupkan dua kawasan berkenaan.

Susulan daripada itu Unit Pemusnah Bom dari IPK Kelantan dikejarkan ke dua lokasi berkenaan.

Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut selama hampir dua jam tidak menemui bahan letupan berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Senior Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, berdasarkan panggilan telefon itu, pihaknya mengenal pasti pemanggil adalah seorang lelaki Melayu.

“Sebaik menerima panggilan itu, kita mengambil tindakan segera untuk mengesan kemungkinan ada bom di kawasan berkenaan.

“Bagaimanapun selepas pemeriksaan dijalankan tiada bahan letupan ditemui,” katanya di sini, semalam.

Tinjauan Harian Metro mendapati semua kakitangan mahkamah dan orang awam sudah berada di luar bangunan itu termasuk prosiding mahkamah terpaksa ditangguhkan sementara pemeriksaan dijalankan.

Bagaimanapun kakitangan dan orang awam dibenarkan masuk semula ke kompleks mahkamah pada jam 2 petang.

Harian Metro sebelum ini juga melaporkan operasi di Mahkamah Kota Bharu, Pejabat Tanah dan Galian Kota Bharu dan Mahkamah Syariah Kota Bharu terpaksa dihentikan buat sementara waktu berikutan menerima ancaman sama pada 29 November lalu.

Menurutnya, pihaknya memandang serius perkara itu dan akan menjalankan siasatan terperinci sehingga individu yang tidak bertanggungjawab itu ditangkap.

“Kita percaya ia bertujuan untuk mengganggu gugat ketenteraman awam.

“Oleh itu kita nasihatkan orang yang tidak bertanggungjawab ini hentikan perbuatan sia-sia ini kerana kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Mohd Fakri Che Sulaiman berkata, panggilan itu diterima daripada individu dengan menggunakan nombor persendirian.

“Kami cuba menghubungi nombor telefon individu tidak dikenali itu, tetapi tiada sebarang jawapan dan pada masa sama siasatan lanjut masih dilakukan.

“Kita tidak menolak kemungkinan panggilan itu dipercayai dilakukan individu yang sama iaitu kes panggilan bom pertama di Mahkamah Kota Bharu pada 29 November lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2016 @ 7:39 AM