KEADAAN rumah kongsi yang diperbuat daripada kontena  yang terbakar.
KEADAAN rumah kongsi yang diperbuat daripada kontena yang terbakar.
Nadzreen Shah Mat Salim


Sungai Buloh: Tindakan balas dendam dipercayai menjadi menjadi punca dua lelaki tempatan membakar lapan kontena yang dijadikan rumah kongsi sekumpulan warga asing.

Dalam kejadian jam 10 malam kelmarin, rumah kongsi terletak berhampiran Stesen Aliran Transit Massa (MRT) Sungai Buloh di sini, musnah sepenuhnya akibat perbuatan khianat itu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Dr Abdul Aziz Awang Darus berkata, hasil siasatan awal mendapati dua lelaki tempatan menyerang penghuni rumah kongsi itu hingga mencetuskan pergaduhan.

“Kekecohan itu mengakibatkan suspek panik dan melarikan diri dengan meninggalkan motosikal ditunggang mereka di lokasi kejadian.

“Namun suspek muncul semula di lokasi sama tidak lama kemudian. Mereka dipercayai membakar rumah kongsi berkenaan sebelum melarikan diri menaiki motosikal yang ditinggalkan,” katanya.

Dia berkata, salah seorang suspek bagaimanapun ditahan polis di Hospital Sungai Buloh di sini, ketika mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, rakannya ditahan polis di Balai Polis Sungai Buloh selepas membuat laporan polis berhubung pergaduhan itu,” katanya.

Abdul Aziz menegaskan pihaknya masih menjalankan siasatan dan orang awam dinasihati tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengganggu siasatan.

“Kami masih menyiasat punca sebenar kejadian termasuk kemungkinan suspek cuba menyamun penghuni di situ sehingga tercetus pergaduhan. Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua suspek,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh Mohamed Sabri A Shamsudeen berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.17 malam dan sepasukan anggota dari BBP Sungai Buloh dan BBP Damansara dikerahkan ke lokasi.

“Sebanyak lapan rumah kongsi diperbuat daripada kontena itu musnah sepenuhnya dalam kebakaran berkenaan.

“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan semua penghuni rumah kongsi berkenaan berjaya menyelamatkan diri. Anggaran kerugian dan punca kebakaran masih lagi dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2016 @ 7:40 AM