Nadzreen Shah Mat Salim


Sungai Buloh: Dua lelaki dipercayai dalang kebakaran lapan rumah kongsi yang diperbuat daripada kontena berhampiran Stesen Aliran Transit Massa (MRT) Sungai Buloh, di sini, ditahan di dua lokasi berasingan, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Dr Abdul Aziz Awang Darus berkata, hasil siasatan awal mendapati dua lelaki berusia lingkungan 20an berkenaan menyerang penghuni rumah itu yang juga warga Indonesia sehingga mencetuskan pergaduhan.

"Kekecohan itu mengakibatkan suspek panik dan melarikan diri sehingga meninggalkan motosikal dinaiki mereka di lokasi kejadian.

"Namun, suspek datang semula ke lokasi kejadian dan membakar rumah kongsi berkenaan sebelum melarikan diri bersama motosikal yang ditinggalkan," katanya.

Katanya, seorang suspek ditahan di Hospital Sungai Buloh ketika mendapatkan rawatan, manakala rakannya ditahan di Balai Polis Sungai Buloh selepas membuat laporan polis mengenai pergaduhan itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh Mohamed Sabri A Shamsudeen berkata, lapan rumah kongsi yang diperbuat daripada kontena itu musnah sepenuhnya dalam kebakaran berkenaan.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kami mendapatiapi sedang marak dan memusnahkan semua rumah kongsi berkenaan 100 peratus.

"Semua penghuni rumah kongsi berkenaan berjaya menyelamatkan diri dan punca kebakaran masih disiasat," katanya.

Berita berkaitan:

8 rumah kongsi hangus

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Disember 2016 @ 4:15 PM
ANGGOTA Bomba memadamkan kebakaran rumah kongsi. FOTO Asyraf Hamzah
ANGGOTA Bomba memadamkan kebakaran rumah kongsi. FOTO Asyraf Hamzah