SULTAN Ahmad Shah  bersama Sultanah Kalsom  beramah mesra dengan  keluarga kanak-kanak yang menghidap sakit jantung   di IJN, semalam.
SULTAN Ahmad Shah bersama Sultanah Kalsom beramah mesra dengan keluarga kanak-kanak yang menghidap sakit jantung di IJN, semalam.

Kuala Lumpur: Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah berkenan mengurniakan sumbangan zakat berjumlah RM1 juta kepada Institut Jantung Negara (IJN) bagi membiayai rawatan pesakit kurang berkemampuan.

Bantuan kewangan di bawah program Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) itu bakal diagihkan kepada pesakit terdiri daripada golongan asnaf berasal dari Pahang yang mendapatkan rawatan sakit jantung di IJN.

Ketua Pegawai Eksekutif IJN Datuk Dr Mohd Azhari Yakub berkata, kos rawatan sakit jantung memang tinggi dan bantuan daripada organisasi seperti MUIP secara tidak langsung memberi peluang kepada rakyat mendapatkan rawatan berkualiti setanding dengan pusat rawatan jantung di luar negara.

“Kos rawatan untuk penyakit jantung antara termahal dan memerlukan kesinambungan rawatan.

“Keadaan ini membebankan pesakit kurang berkemampuan terutama ibu bapa muda yang baru memulakan hidup berkeluarga seandainya anak dilahirkan mempunyai masalah jantung.

“Bagi memenuhi tanggungjawab kami dalam merawat pesakit, IJN berusaha mewujudkan pelbagai kemudahan bagi setiap pesakit yang berhak mendapat layanan mesra dalam persekitaran selesa tanpa mengira latar belakang.

“Di IJN, terdapat beberapa saluran mendapatkan bantuan kewangan bagi menampung kos rawatan pesakit dan kami bertuah kerana adanya organisasi yang prihatin membantu pesakit ini secara tidak langsung meringankan beban subsidi kerajaan,” katanya pada Majlis Pengurniaan Sumbangan Zakat MUIP kepada IJN di sini, semalam.

Pengurniaan cek sumbangan zakat disempurnakan Sultan Ahmad Shah sebagai Yang Dipertua MUIP kepada Dr Mohd Azhari.

Turut berangkat mencemar duli Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom.

Sepanjang 2014, statistik IJN merekodkan lebih 900 pesakit kurang berkemampuan berasal dari Pahang dan hampir 50 peratus daripadanya pesakit beragama Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2016 @ 5:11 AM