Operasi memindahkan batu untuk membaik pulih ban bagi menghadapi fenomena air pasang besar di Kampung Batu 5, Kapar.
Operasi memindahkan batu untuk membaik pulih ban bagi menghadapi fenomena air pasang besar di Kampung Batu 5, Kapar.

Sabak Bernam: Dua pusat pemindahan mangsa bencana di daerah ini dibuka bermula jam 2 petang semalam, bagi menghadapi sebarang kemungkinan gelombang ketiga fenomena air pasang besar.

Komander Operasi Pengurusan Bencana daerah Superintendan Nor Azmi Isa berkata, pihaknya sudah mengenal pasti tindakan susulan dalam menghadapi fenomena berkenaan.

“Pusat Operasi Bencana Daerah di Pejabat Daerah Sabak Bernam akan mula beroperasi 24 jam bermula jam 2 petang ini (semalam).

“Ia membabitkan Dewan Sungai Air Tawar dan Dewan Parit Baru. Manakala, Dewan Sri Bernam dan Sri Sekinchan. Pusat ini akan dibuka pada bila-bila masa jika diperlukan,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Polis Daerah Sabak Bernam berkata, empat pusat pemindahan itu turut dijadikan sebagai penempatan bagi semua agensi kerajaan berkaitan untuk mengurus mangsa banjir.

Kata Nor Azmi, daerah ini dikategorikan sebagai Zon Merah selain Klang dan dua tempat berisiko tinggi terjejas banjir iaitu Sungai Air Tawar serta Tebuk Mendeling.

“Penduduk diingatkan supaya bertindak segera sekiranya diarah berpindah ke pusat pemindahan banjir ditetapkan.

“Jangan berlengah kerana bencana yang melanda biasanya berlaku pantas sehingga mendatangkan bahaya tidak terjangka,” katanya.

Penduduk yang mempunyai pertanyaan lanjut boleh menghubungi Jawatankuasa Bencana Daerah di talian 03-32247058 atau 03-2241963.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2016 @ 6:59 AM