SALMIAH (kiri) dan Sarintan menunjukan Ijazah Anumerta yang diterima pada majlis khas Konvokesyen ke-57 UTM, di Bilik Canselor UTM Skudai, Johor Bahru.
SALMIAH (kiri) dan Sarintan menunjukan Ijazah Anumerta yang diterima pada majlis khas Konvokesyen ke-57 UTM, di Bilik Canselor UTM Skudai, Johor Bahru.
Norazimah Narudin


Johor Bahru: Majlis graduasi yang sepatutnya dirai dalam suasana gembira bertukar hiba buat dua wanita apabila tidak dapat menahan sebak ketika mengambil Ijazah Anumerta tanpa kehadiran anak masing-masing pada majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-57, di sini, semalam.

Ijazah berkenaan dianugerahkan kepada penuntut Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Fatin Farah Wahidah Azahar, 24, dan penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia Mohd Shafiq Ilman Abd Shukor, 26, yang sudah meninggal dunia tanpa sempat menamatkan pengajian.

Kedua-dua penuntut sebelum ini meninggal dunia disebabkan penyakit jantung dan kemalangan jalan raya, bahkan mereka juga berkongsi tarikh kematian pada 26 April lalu ketika sedang menjalani Latihan Industri (LI) di Shah Alam, Selangor serta Pasir Gudang, Johor.

Ijazah itu diterima Salmiah Ngadi, 48 dari Ledang, di sini, mewakili anaknya Fatin Farah Wahidah, manakala Sarintan Karis, 68, dari Kota Tinggi pula mengambil bagi pihak Allahyarham Mohd Shafiq Ilman yang meninggal dunia kerana terbabit kemalangan jalan raya.

Salmiah berkata, anak ketiga daripada lapan beradik itu menjadi harapan keluarga selepas anak sulungnya, Mohd Shahfizal, 18, turut pergi mengadap Ilahi akibat terbabit kemalangan 10 tahun lalu ketika masih menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Johor Kampus Pasir Gudang.

“Selepas kematian abangnya, arwah (Fatin Farah) menjadi anak harapan keluarga, tetapi Allah lebih menyayanginya dan menguji saya lagi dengan pemergiannya dan saya reda dengan ketentuan ini,” katanya.

Katanya, sebelum ini anaknya sering mengadu sakit dada yang teruk dan kerap pengsan di tempat belajar selain ketika menjalani latihan industri di Shah Alam.

“Selepas dirujuk beberapa kali ke hospital, doktor masih tidak dapat mengenal pasti penyakit yang dihidapi arwah sehingga dia bosan untuk membuat pemeriksaan selain ubat yang diberikan turut tidak mujarab.

“Pada mulanya keadaan kesihatan arwah tidak teruk, namun selepas itu arwah mengadu sakit dada seperti ditumbuk dengan kuat dan ia semakin kerap berulang ketika arwah berada di semester lima,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2016 @ 9:09 AM