RIDZUAN menunjukkan kolam ikan kelinya yang ditenggelami air pasang besar di Kuala Kedah, semalam.
RIDZUAN menunjukkan kolam ikan kelinya yang ditenggelami air pasang besar di Kuala Kedah, semalam.
IKAN keli yang dipelihara Ridzuan mati akibat fenomena air pasang besar di Kuala Kedah, semalam.
IKAN keli yang dipelihara Ridzuan mati akibat fenomena air pasang besar di Kuala Kedah, semalam.
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Seorang pengusaha kolam ikan terkilan apabila 60,000 ikan keli dipelihara dalam empat kolam di tepi rumahnya di Kampung Padang Garam, Kuala Kedah di sini, mati selepas ditenggelami air laut akibat fenomena air pasang, awal pagi semalam.

Kejadian itu hanya disedari Ridzuan Hussin, 27, selepas menerima panggilan daripada abangnya, Mohd Huzaidi, 37, yang memaklumkan kolam ikan peliharaannya gagal diselamatkan.

Katanya, ketika itu, dia bekerja syif malam di sebuah hospital swasta di bandar raya ini dan sedih apabila dimaklumkan oleh abangnya berhubung kejadian itu.

“Saya baru memelihara ikan keli itu sejak dua bulan lalu selepas memperoleh hasil sebelum ini, namun sedih apabila mendapati semuanya sudah terlepas dan mati terdampar di depan rumah sebaik air surut.

“Bagaimanapun, saya reda dengan apa yang berlaku meskipun ada pelanggan sudah menempah ikan berkenaan,” katanya.

Katanya, sebelum ini dia sudah melalui kejadian air laut pasang yang kerap berlaku di Kuala Kedah, namun tidak sangka ia mengakibatkan rumahnya turut ditenggelami air.

Menurutnya, kejadian air pasang berlaku terlalu pantas menyebabkan kawasan rumahnya kelihatan seperti laut dan tidak sempat memindahkan ikan yang ada dalam kolam berkenaan.

“Pagi ini (semalam), saya tengok banyak ikan mati terkena air masin menyebabkan pendapatan terjejas,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di kawasan Pelabuhan Kuala Kedah dan pesisir muara kawasan itu semalam mendapati keadaan air laut bergelora menyebabkan kejadian air pasang dan tidak selamat untuk bot kecil.

Fenomena itu menyebabkan peniaga kedai makan dan restoran di kawasan tepi pantai menutup premis mereka sejak tiga hari lalu.

Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kedah Baharudin Kadri berkata, keadaan di laut masih bergelora dan tidak selamat untuk nelayan bot kecil turun menangkap ikan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2016 @ 7:21 AM