Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Fenomena air pasang besar dijangka menyebabkan ombak setinggi 3.1 meter, awal pagi esok, mencetuskan kebimbangan kepada penduduk di Kuala Kedah terutama yang tinggal hampir dengan pantai.

Tinjauan hari ini mendapati, air pasang berlaku sejak 12 tengah hari menyebabkan pelantar ikan dan kedai makan di kawasan itu ditenggelami air.

Peniaga ikan, Ahmad Hashim, 74, berkata fenomena air pasang sejak tengah malam kelmarin adalah yang terburuk setakat ini sepanjang dia menetap di kawasan itu.

Katanya, banyak rumah berhampiran pantai dan muara dimasuki air sehingga mencecah 0.3 meter sebelum surut sepenuhnya selepas sejam kemudian.

"Kami dimaklumkan air pasang besar menyebabkan ombak tinggi melebihi tiga meter dijangka berlaku tengah malam ini dan ini amat membimbangkan.

"Disebabkan itu, kami sebagai peniaga di sini sudah bersedia dengan mengangkat barangan untuk jualan ikan di pelantar ini kerana bimbang dihanyutkan air laut," katanya ketika ditemui di pelantar ikan Kampung Seberang Kota, Kuala Kedah, di sini hari ini.

Ahmad berkata, kejadian air pasang pada 11.30 malam tadi turut menyebabkan air laut memasuki pelantar ikan di situ, tetapi surut semula selepas sejam kemudian.

Katanya, setiap tahun fenomena itu berlaku, tetapi kali ini lebih agak tinggi sehingga masuk ke dalam rumah penduduk dan situasi itu tidak pernah berlaku sebelum ini.

Air pasang besar menyebabkan limpahan air laut berlaku sehingga menenggelamkan pelantar ikan dan kedai makan di Kampung Seberang Kota di Kuala Kedah hari ini. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Air pasang besar menyebabkan limpahan air laut berlaku sehingga menenggelamkan pelantar ikan dan kedai makan di Kampung Seberang Kota di Kuala Kedah hari ini. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI

"Keadaan ini menyebabkan harga ikan naik sehingga RM8 hingga RM10 berbanding RM4 hingga RM5 sekilogram, tetapi semuanya bersaiz kecil.

"Ini disebabkan ramai nelayan takut hendak turun ke laut pada waktu fenomena air pasang kerana kita tidak tahu keadaan ombak di tengah laut yang boleh mendatangkan bahaya kepada nelayan bot kecil," katanya.

Nelayan, Sani Ramli, 40, berkata, dia keluar menangkap ikan pada 5 pagi setiap hari, tetapi tidak berani turun ke tengah laut walaupun ikan banyak di situ.

Katanya, dia hanya menangkap ikan di pesisir pantai dan fenomena air pasang besar itu berlaku antara 11 malam hingga 2 pagi.

"Waktu saya turun air laut sudah surut, tapi takut juga ombak besar di tengah laut. Sebab itu saya tidak berani ke tengah walaupun alun ombak kuat, tapi saya buat kerja macam biasa sebab nak cari rezeki.

"Tapi tahun ini rumah saya dimasuki air akibat fenomena ini kerana hampir dengan laut. Malam ini, tidak tahulah bagaimana keadaannya, tapi kami sudah sedia angkat barang," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, fenomena air pasang besar tengah hari ini disebabkan paras ombak setinggi 2.7 meter menyebabkan beberapa kawasan di Kuala Kedah dinaiki air.

Beliau berkata, dijangkakan ombak tinggi pada paras 3.1 meter pada 1.17 pagi ini dan pasukan bomba bersedia pada bila-bila masa sekiranya menerima panggilan berlaku banjir di kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 November 2021 @ 4:38 PM