DR Noor  (empat kiri) bersama penerima anugerah Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di UKM, Bangi.
DR Noor (empat kiri) bersama penerima anugerah Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di UKM, Bangi.

Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia komited dalam menyediakan persekitaran tempat kerja yang sihat, selamat dan kondusif bagi memastikan institusi pendidikan itu mencapai sasaran matlamatnya dengan lebih mudah.

Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Datuk Dr Noor Azlan berkata, untuk menjadi universiti cemerlang dan hebat, apa yang perlu diutamakan adalah pekerja di universiti itu sendiri.

“Pekerja perlu disediakan prasarana yang sihat, selamat serta kondusif kerana ia dapat menjadikan seseorang pekerja itu lebih produktif, sekali gus membantu sesebuah institusi mencapai visi dan misi dengan lebih mudah.

“Dalam konteks ini, apa yang penting adalah kesedaran warga kampus itu sendiri.

“Ini kerana isu kesihatan atau keselamatan persekitaran bukan disebabkan oleh faktor penguatkuasaan semata-mata sebaliknya bergantung kepada kesedaran individu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (MKKP) UKM 2016, di sini, semalam.

Menurut Noor Azlan lagi, pihak universiti berkenaan sentiasa melakukan pemantauan aspek keselamatan dan kesihatan pekerja secara berkala.

Kata Noor Azlan lagi, di UKM Pusat Pengurusan Risiko, Kelestarian dan Kesihatan Pekerjaan (ROSH) bertanggungjawab memastikan kampus universiti itu selamat, sihat dan lestari.

Katanya, berdasarkan laporan diterima, kesedaran dalam kalangan warga kampus termasuk pelajar meningkat.

“Jumlah kes kemalangan jalan raya di dalam kampus berkurangan antara 30 hingga 40 peratus setahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2016 @ 6:37 AM