PENGURUSAN ergonomik yang tidak baik boleh jejaskan produktiviti kerja.
PENGURUSAN ergonomik yang tidak baik boleh jejaskan produktiviti kerja.
Muhamaad Razis Ismail


Pandemik Covid-19 yang menular ke seluruh dunia mengubah banyak perkara sekali gus mewujudkan kebiasaan baharu dalam kehidupan antaranya cara kita bekerja.

Sebelum ini seawal jam 7 pagi, jalan raya hampir di seluruh tempat terutama di kawasan bandar sesak dipenuhi kenderaan berpusu-pusu ke tempat kerja.

Bagaimanapun, selepas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) keadaan itu berubah 180 darjah, apabila banyak syarikat mengambil pendekatan bekerja dari rumah untuk mencegah penularan pandemik ini.

Biarpun bekerja dari rumah, majikan dan pekerja perlu memastikan pengurusan ergonomik sentiasa dalam keadaan baik untuk mengelakkan kesan kepada kesihatan yang boleh menjejaskan produktiviti.

Ergonomik adalah disiplin saintifik yang berkaitan dengan pemahaman mengenai interaksi antara manusia dan elemen lain dari sistem kerja.

Pensyarah kanan di Pusat Pengajian Kimia dan Persekitaran, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Ismaniza Ismail berkata, ergonomik dapat memudahkan pekerjaan dan memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja untuk bekerja dengan optimum serta meningkatkan produktiviti.

"Bayangkan jika sepanjang lapan jam bekerja setiap sehari, kita melakukan pekerjaan dalam postur yang canggung, pergerakan berulang atau suhu persekitaran yang melampau, pastinya kita akan berasa tidak selesa akibat sistem muskuloskeletal terganggu.

"Kesannya pekerja akan mengalami gangguan terhadap fungsi sendi, ligamen, saraf, otot dan tulang belakang yang memberi kesan kepada anggota badan termasuk leher, bahu, pergelangan tangan, pinggul, lutut dan kaki sekali gus menyukarkan pergerakan," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

PASTIKAN stesen kerja yang kondusif.
PASTIKAN stesen kerja yang kondusif.

Menurutnya, memandangkan ramai yang bekerja dari rumah, penyediaan stesen kerja yang sesuai adalah penting untuk mengelakkan masalah berkaitan ergonomik.

"Bermula dengan pemilihan meja dan kerusi yang selesa, kedudukan serta paras komputer juga perlu diberi perhatian.

"Berehat seketika untuk memberi kelegaan kepada badan dan mata juga perlu diamalkan, di samping senaman ringan antara waktu bekerja," katanya.

Faktor lain juga perlu dititikberatkan ketika bekerja dari rumah, seperti pengudaraan yang baik, pencahayaan secukupnya, keselesaan suhu dan bunyi bising di persekitaran kerja juga perlu diambil kira.

"Semua faktor ini memainkan peranan dalam memastikan kita dapat bekerja dengan efisien dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap tugasan yang dibuat," katanya.

Di negara kita, dinyatakan secara umum di bawah Seksyen 15 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, iaitu berkenaan tanggungjawab am majikan dan orang yang bekerja sendiri terhadap pekerjanya untuk memastikan, setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan ketika bekerja.

"Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mengambil inisiatif untuk menyebarkan informasi melalui program Systematic Occupational Health Enhancement Level Program (SOHELP) untuk menggalakkan tempat kerja menjalankan Penilaian Risiko Ergonomik," katanya.

Tambahnya, kesilapan utama dalam pengurusan ergonomik adalah keterbatasan pengetahuan dalam bidang ini.

"Sebagai contoh, perkara yang diambil mudah apabila duduk menaip dengan cara yang betul.

"Disebabkan ia adalah tugas harian, kita terbiasa dengan amalan harian dan terlepas pandang dengan risiko sindrom 'carpal tunnel' di pergelangan tangan dan keperluan untuk melakukan senaman regangan serta merehatkan mata.

LAKUKAN senaman regangan untuk kesegaran.
LAKUKAN senaman regangan untuk kesegaran.

"Selain itu mungkin terdapat majikan yang tidak cakna dengan reka bentuk tempat kerja termasuk tidak menyediakan kerusi atau meja boleh laras untuk pekerja yang mempunyai ketinggian berbeza sekali gus menyebabkan masalah berkaitan ergonomik," katanya.

Jelasnya, kesedaran masyarakat negara ini mengenai kepentingan pengurusan ergonomik masih kurang.

"Biasanya masyarakat tahu mengenai sakit badan, sendi, otot dan saraf apabila mengangkat barang yang terlalu berat, tetapi mungkin tidak dapat mengaitkannya dengan faktor risiko lain yang menyebabkan mereka sakit.

"Masyarakat kita juga sering mengaitkan isu sakit sebegini dengan peningkatan usia sahaja," katanya.

Beliau berkata, menjadi tanggungjawab majikan untuk memastikan pekerja menjalankan tugas dalam situasi yang selamat dan sihat.

"Dalam konteks bekerja dari rumah seperti sekarang, majikan boleh mengingatkan pekerja mengenai amalan ergonomik yang baik melalui e-poster yang diedarkan atau ketika taklimat pada awal mesyuarat dalam talian.

"Namun ia boleh menjadi sia-sia jika hanya majikan berusaha menyediakan tempat kerja dan cara kerja yang sihat dan selamat, tetapi tidak dimanfaatkan atau diamalkan pekerja," katanya.

Beliau menasihatkan, semua pihak sentiasa mengamalkan ergonomik yang baik kerana ia boleh memberi kesan kepada kesihatan dalam jangka panjang.

"Amalan ini bukan sahaja untuk kita yang bekerja dari rumah, tetapi juga yang bekerja di pejabat.

"Sentiasa pastikan persekitaran kerja yang kondusif dan postur badan yang ideal supaya produktiviti tidak terjejas akibat masalah ergonomik," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 7:01 AM